KUALA LUMPUR 27 Nov – Hextar Capital Berhad mencatat hasil terkumpul sebanyak RM18.7 juta pada suku keempat 2025 (4QFY2025), meningkat RM7.2 juta daripada RM11.5 juta pada suku sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, ia berjaya mengekalkan kestabilan kewangan disokong oleh strategi pelaburan dan prestasi segmen Perkhidmatan Kejuruteraan & Perdagangan yang meningkat.
“Walaupun mencatat kerugian selepas cukai RM6.9 juta, ia adalah disebabkan oleh pelarasan sekali sahaja sebanyak RM7 juta berkaitan pengambilalihan anak syarikat milik penuh, T & J Engineering Sdn. Bhd.
“Tanpa pelarasan ini, keuntungan selepas cukai sebenar (PAT) adalah RM0.1 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi tahun kewangan penuh 2025, Hextar Capital mencatat hasil RM71.7 juta, menurun 39% daripada RM117.7 juta pada tahun sebelumnya berikutan siapnya projek JENDELA Fasa 1.
Namun, Kumpulan mencatat keuntungan selepas cukai RM3.2 juta, meningkat berbanding LAT RM3.9 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada syarikat sekutu dan ketiadaan caj pelunasan yang diiktiraf sebelum ini.
Pengarah Urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata, keuntungan konsisten Kumpulan mencerminkan kekuatan strategi pelaburan dan pengurusan kewangan berdisiplin, dengan sumbangan positif daripada segmen kuasa dan infrastruktur data.
“Walaupun hasil masih mencabar dalam beberapa segmen teras, kami yakin asas Kumpulan akan terus kukuh apabila projek utama dan kontrak baharu dijalankan. Kami komited meningkatkan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan melalui ketahanan, inovasi, dan kepelbagaian,” katanya.
Hextar Capital yang ditubuhkan pada 1994 mempunyai operasi dalam pembuatan, kejuruteraan dan perdagangan, penyelesaian telekomunikasi, penjanaan tenaga, pembinaan serta pemberian pinjaman, memainkan peranan penting dalam memajukan infrastruktur digital dan tenaga di Malaysia. - DagangNews.com








