KUALA LUMPUR 24 Okt - Hengyuan Refining Company Bhd meraih RM234 juta hasil kasar melalui latihan terbitan hak (rights issue) yang menerima sambutan luar biasa dengan lebihan langganan sebanyak 122.88 peratus.
Syarikat penapisan dan pengeluaran produk petroleum itu berkata ia menerima jumlah penerimaan sah dan permohonan lebihan sebanyak 368.64 juta saham hak setakat tarikh tutup pada 17 Oktober 2025.
Urus niaga tersebut melibatkan sehingga 300 juta saham biasa baharu bersama 150 juta waran boleh tanggal percuma, berdasarkan satu saham hak bagi setiap satu saham sedia ada dan satu waran bagi setiap dua saham hak yang dilanggan, pada harga terbitan 78 sen sesaham.
Menurut Hengyuan, sebahagian besar hasil terbitan akan digunakan untuk pembelian tambahan bahan mentah utama — minyak mentah (crude oil feedstock) — bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran, menurunkan kos setiap tong, serta memperkukuh daya saing syarikat di pasaran serantau.

Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan hasil terbitan hak ini dan menghargai sokongan yang diterima daripada para pemegang saham sedia ada serta pelabur baharu yang menyertai latihan ini.
"Keputusan ini membuktikan keyakinan berterusan mereka terhadap asas kukuh Hengyuan dan prospek masa depannya.
"Dengan kejayaan pelaksanaan terbitan hak ini, kami telah membuka ruang modal kerja tambahan, mengukuhkan asas ekuiti, dan memperbaiki kedudukan kewangan syarikat. Kami akan terus berusaha gigih untuk memberikan nilai berterusan kepada semua pemegang saham kami,” katanya.
Pemegang saham utama syarikat, Malaysia Hengyuan International Ltd (MHIL) yang memiliki 51.02 peratus pegangan saham terbitan, telah melanggan keseluruhan haknya serta saham lebihan, membolehkan syarikat mencapai sasaran kutipan minimum RM155 juta, katanya dalam kenyataan media.
Sedia Diniaga di Bursa 30 Oktober
Saham hak dan waran baharu Hengyuan dijangka akan disenaraikan dan mula diniagakan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 30 Oktober 2025, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha pengukuhan struktur modal dan pertumbuhan strategik syarikat. - DagangNews.com








