KUALA LUMPUR 14 Julai - Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) telah memeterai perjanjian membeli dua lot tanah pegangan pajak di Melaka dengan keluasan 16.92 hektar berharga RM40 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hektar REIT berkata, pemegang amanahnya, MTrustee Bhd akan memperoleh tanah tersebut daripada KYS College Sdn Bhd.
Tanah tersebut terletak di mukim Durian Tunggal.
MTrustee turut menandatangani perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan KYSA Education Sdn Bhd iaitu pengendali Kolej Yayasan Saad (KYS), sebuah sekolah berasrama penuh swasta di Melaka yang diasaskan oleh tokoh korporat Tan Sri Halim Saad.
Perjanjian pajakan tersebut mengguna pakai struktur pajakan bersih tiga kali ganda (triple net lease) yang menetapkan semakan kenaikan kadar sewa sebanyak 10% setiap tiga tahun, serta menawarkan opsyen lanjutan selama 30 tahun tambahan atau sehingga tempoh pegangan pajak berakhir.
Untuk rekod, Hektar REIT sebelum ini telah melengkapkan pengambilalihan KYS bernilai RM150 juta pada tahun lalu iaitu pelaburan pertamanya di luar sektor runcit.
Transaksi terbaharu ini diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan kerana anak perempuan Halim, Nor Sabrina adalah ahli lembaga pengarah Hektar Black Sdn Bhd, salah satu pemegang unit utama Hektar REIT.
Menurut Hektar REIT, lot pertama berkeluasan 2.55 hektar terletak berhampiran Lebuhraya Utara-Selatan dengan akses terus ke jalan utama dan telah dikenal pasti oleh penjual untuk pembangunan masa hadapan bagi mengukuhkan jenama KYS.
Lot yang kedua seluas 14.37 hektar pula adalah sebahagian daripada tanah seluas 49.18 hektar, di mana 34.8 hektar daripadanya telah pun dibeli sebelum ini dan digunakan untuk kemudahan akademik, pentadbiran dan pelajar kampus KYS.
Hektar REIT menjelaskan pemerolehan dan perjanjian pajakan itu selari dengan strategi jangka panjangnya untuk menjana pendapatan mampan kepada pemegang unit menerusi pelaburan dalam aset berkualiti tinggi yang menjana pendapatan tetap.
Tambah syarikat itu, walaupun transaksi kali ini hanya melibatkan tanah, ia menjadi asas kepada pelan pelaburan secara berperingkat.
“Setelah pembangunan disiapkan oleh pihak penyewa, Hektar REIT mungkin mempertimbangkan untuk memperoleh bangunan siap bagi meningkatkan pendapatan sewa berdasarkan keluasan lantai kasar.
“Langkah ini dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan jangka panjang dan mempelbagaikan lagi portfolio menerusi pendedahan kepada sektor pendidikan yang kukuh dan sedang berkembang,” katanya.
Pembiayaan pemerolehan akan menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman dengan RM24 juta dijangka dibiayai melalui kemudahan pembiayaan.
Urus niaga dijangka selesai pada suku keempat tahun ini. - DagangNews.com








