HD Hyundai Heavy Industries sasar kontrak pembinaan kapal perang baharu TLDM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HD Hyundai Heavy Industries sasar kontrak pembinaan kapal perang baharu TLDM

Lakaran grafik kapal OPV HD1500 buatan Korea Selatan yang berpotensi ditawarkan kepada TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 30 Sept - Syarikat pembinaan kapal terkemuka Korea Selatan, HD Hyundai Heavy Industries (HD HHI) bersedia untuk memperluaskan kehadirannya dalam pasaran pertahanan maritim serantau dengan menyasarkan kontrak pembinaan kapal TLDM.

 

Usaha ini dilakukan menerusi penganjuran Forum Keupayaan dan Kolaborasi Maritim di Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena Seminar Ketiga Kerjasama Industri Pertahanan Korea-Malaysia anjuran Kedutaan Republik Korea di Malaysia.

 

HD HHI menerusi kenyataan memberitahu, dalam forum tersebut, HD HHI menegaskan komitmen untuk menyokong pelaksanaan pelan transformasi 15to5 TLDM dan kesediaan menyertai pelbagai projek strategik negara dalam sektor pertahanan maritim.

 

 

 

 

 

 

 

Forum dihadiri Naib Presiden Eksekutif HD HHI, Chun Jungsoo bersama pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kementerian Pertahanan (Mindef), wakil kedutaan Korea serta pemain industri tempatan.

 

Kapal
Hyundai menawarkan model kapal HD1000 kepada TLDM bagi kontrak kapal MRSS.

 

Dalam kenyataan itu, Chun Jungsoo percaya keupayaan syarikat dapat memenuhi apa yang diperlukan dalam pembangunan TLDM.

 

 “HD Hyundai Heavy Industries berbangga dapat berkongsi penyelesaian kapal tentera laut yang canggih dengan TLDM dan Kementerian Pertahanan Malaysia. 

 

“Kami bersedia menyokong usaha pemodenan Malaysia melalui platform yang terbukti, prestasi yang diyakini, serta kerjasama jangka panjang yang mengutamakan nilai perkongsian tempatan,” ujar Chun Jungsoo.

 

HD HHI turut memperkenalkan portfolio kapal terkini bagi memenuhi keperluan TLDM seperti kapal misi pesisir (LMS) Batch III, Multi-Role Support Ship (MRSS) dan Multi-Purpose Command Platform (MPCP). 

 

Syarikat itu memaparkan keupayaan teknikal dan rekod prestasi operasi kapal-kapal berkenaan, yang direka khas bagi memperkukuh keselamatan dan kawalan perairan negara.

 

 

Kapal
Frigat BRP Rajah Sulayman yang dibina HD Hyundai untuk tentera laut Filipina.

 

Kapal
Frigat BRP Jose Rizal buatan Korea Selatan.

 

Menariknya, HD HHI turut menekankan pendekatan yang menyeimbangkan kepakaran global dengan penglibatan tempatan bagi membangunkan industri maritim di sini.

 

Ini merujuk kepada kejayaan kerjasama di Peru dan Filipina yang melibatkan pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan industri tempatan.

 

Sejak 2016, HD HHI telah membina dan menghantar 10 buah kapal tentera laut untuk Filipina, termasuk dua frigat, dua korvet dan enam kapal rondaan luar pesisir. 

 

Pada 2022, syarikat tersebut turut menubuhkan pusat sokongan logistik di Pangkalan Tentera Laut Subic Bay, Filipina untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih kapal.

 

Kapal
Chung Jungsoo (tiga dari kanan) bersama pegawai kanan TLDM dan wakil industri semasa hadir pada Forum Keupayaan dan Kolaborasi Maritim di Kuala Lumpur.

 

Langkah ini memberi kelebihan daya saing kepada HD HHI untuk membina kepercayaan jangka panjang dalam pasaran serantau, termasuk Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

Dalam perkembangan berkaitan, HD HHI kini dalam proses penggabungan dengan HD Hyundai Mipo yang dijangka memperkukuh keupayaan strategik syarikat dalam sektor kapal tentera laut dan kapal khas. 

 

Penggabungan ini bertujuan meningkatkan kapasiti syarikat dalam memenuhi permintaan projek-projek pembinaan kapal tentera laut di Asia Tenggara. - DagangNews.com