Hasrat SDS beli tanah di Johor bernilai RM101.7 juta diyakini penuhi permintaan snek Tora - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasrat SDS beli tanah di Johor bernilai RM101.7 juta diyakini penuhi permintaan snek Tora - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb — Cadangan SDS Group Berhad mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 14.3 hektar di Johor Bahru, Johor bernilai RM101.7 juta, diyakini memberi kesan positif kepada syarikat itu.


Menurut TA Securities, usaha tersebut dijangka menyokong pertumbuhan jangka panjang khususnya bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap jenama snek Tora dan London, yang diperolehnya sebelum ini.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, pembelian sekitar RM67.80 sekaki persegi itu, dilihat sebagai langkah strategik bagi tujuan pengembangan kapasiti pembuatan pelbagai produk kumpulan tersebut.


"Berdasarkan situasi semasa ini, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap SDS dengan harga sasaran (TP) yang masih tidak berubah pada 81 sen sesaham," katanya dalam satu nota kajiannya hari ini.


TA Securities, tanah tersebut akan dibangunkan sebagai kemudahan pembuatan baharu dan kebetulan berdekatan fasiliti sedia adanya yang berpotensi menjana kecekapan operasi serta penjimatan kos logistik.


Jelasnya, bersandarkan penilaian bebas, harga pembelian mencerminkan diskaun kecil 0.3% berbanding nilai pasaran, sekali gus menjadikan transaksi tersebut sebagai munasabah dari sudut nilai aset.


Walaupun pelan pembangunan terperinci dan kos pembinaan masih dalam kajian kebolehlaksanaan, ia berpandangan pengambilalihan itu akan meningkatkan ruang lantai dan bilangan barisan pengeluaran.


"Usaha SDS ini selari dengan strategi pengembangan kapasiti, dan dari segi kewangan, kumpulan berada dalam kedudukan tunai bersih RM26.6 juta setakat 16 Januari 2026," kata TA Securities. 


Sekiranya pembelian dibiayai melalui gabungan 90% hutang dan 10% dana dalaman, nisbah gear bersih dianggarkan meningkat kepada 0.5 kali, tetapi masih berada pada tahap selesa di bawah 1.0 kali.


Firma itu namun mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini sementara menunggu penyempurnaan pengambilalihan serta kejelasan kos dan garis masa pembangunan projek. - DagangNews.com