Hasil Wawasan Dengkil tumbuh 15.8% kepada RM53.2 juta pada 1QFY26 dipacu aktiviti pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Wawasan Dengkil tumbuh 15.8% kepada RM53.2 juta pada 1QFY26 dipacu aktiviti pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Nov - Wawasan Dengkil Holdings Berhad memulakan FY26 dengan prestasi kukuh apabila hasil tumbuh 15.8% kepada RM53.2 juta bagi 1QFY26 yang berakhir 30 September 2025.


Menurut kumpulan penyedia perkhidmatan kerja tanah dan pembinaan kejuruteraan awam itu, lonjakan berkenaan dipacu oleh aktiviti pembinaan yang lebih rancak serta permulaan projek gentian optik.


Margin kasar namun mengecil kepada RM6.6 juta berbanding RM7.5 juta pada suku sebelumnya berikutan kos yang lebih tinggi untuk projek LRT3 serta penyiapan projek margin tinggi Cybersouth Avaland.


"Bagaimanapun, syarikat tetap mencatat kenaikan keuntungan selepas cukai (PAT) kepada kira-kira RM2.7 juta, didorong kadar cukai efektif yang lebih rendah," kata Wawasan Dengkil dalam kenyataan.


Menurut Pengarah Eksekutifnya, Lim Soon Yik, gambaran prospek syarikat itu kekal positif dan iakini menguruskan sejumlah 13 projek aktif yang disokong buku tempahan belum dibil sebanyak RM348.7 juta.


Situasi positif tersebut kata beliau, memberi jaminan pendapatan kumpulan itu secara berulang, selain buku tender bernilai RM1.6 bilion yang memperlihatkan potensi pertumbuhan lebih besar.

 

Wawasan Dengkil
LIM SOON YIK


Perkembangan berkenaan tambahnya, merangkumi pelbagai projek kerja tanah, kejuruteraan awam, lebuh raya, rel bandar dan infrastruktur ladang solar yang menawarkan banyak peluang pertumbuhan teguh.


"Langkah strategik Wawasan Dengkil memasuki sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) menyerlahkan peralihan jangka panjang syarikat ini ke arah model pendapatan lebih mampan," kata Soon Yik.


Pengalaman luas dalam kerja tanah dan kejuruteraan untuk ladang solar memberi asas kukuh untuk kumpulan itu bergerak naik dalam rantaian nilai dan meraih pendapatan berulang daripada aset solar.


Inisiatif ini jelasnya, diperkukuhkan melalui usaha sama (JV) bagi membangunkan loji solar berskala besar (LSS) fasa kelima yang berkapasiti 70MW di Kedah, serta kepelbagaian cadangan ke dalam pelaburan RE.


Kedua-duanya dijangka mengukuhkan kedudukan jangka panjang syarikat, mengurangkan kebergantungan pendapatan pembinaan tradisional dan meningkatkan daya tahan keuntungan. - DagangNews.com