Hasil syarikat kejuruteraan M&E diunjur lemah pada suku pertama kerana kurang masa pelaksanaan projek - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil syarikat kejuruteraan M&E diunjur lemah pada suku pertama kerana kurang masa pelaksanaan projek - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — Syarikat kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) diunjur merekodkan hasil lebih lemah pada suku pertama 2025 disebabkan kekurangan masa pelaksanaan sesuatu projek mengikut musim, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).   


Firma penyelidikan itu berkata, perbandingan suku ke suku sebelumnya menyaksikan keadaan tersebut turut mempengaruhi kadar produktiviti syarikat yang lebih rendah dan seterusnya mengakibatkan bilangan pengebilan kemajuan yang semakin kurang.


Katanya, syarikat-syarikat M&E kemungkinan mengalami pengurangan lima hingga 15 hari bekerja pada tempoh suku yang dikaji, berikutan cuti panjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.


"Pengeluar kabel tempatan pula sebaliknya dijangka melaporkan keputusan kewangan yang agak stabil, disokong oleh faktor permintaan secara konsisten dan penukaran kukuh bagi tempahan tertunggak," kata HLIB dalam satu nota kajiannya.


Bagaimanapun firma berkenaan turut percaya, jangkaan berlaku kelemahan suku-ke-suku dalam pendapatan M&E itu hanya akan memberi impak minimum ke atas harga saham, memandangkan sifat bermusimnya berikutan cuti perayaan utama.


Memandang ke hadapan, ia melihat kepada risiko berlaku penurunan yang terhad daripada isu ketegangan perdagangan global untuk syarikat-syarikat tempatan tertumpu dalam negara.


HLIB menjangka 2025 akan menjadi tahun kukuh bagi sektor infrastruktur tenaga, disokong oleh rangkaian projek daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan didorong oleh komitmen perbelanjaan modal sebanyak RM42.8 bilion.


Selain itu, firma penyelidikan tersebut meramalkan pelaburan yang semakin meningkat dalam pembinaan pusat data dan inisiatif tenaga solar tempatan serta peningkatan aktiviti infrastruktur di Sabah dan Sarawak.


Ia katanya, dijangka mampu menawarkan pertumbuhan baharu, seperti dibuktikan daripada peningkatan sumbangan jualan untuk Southern Cable Group Berhad dan saluran paip tender yang semakin meningkat untuk MN Holdings Berhad.


“Kami mengutamakan MN Holdings dengan saranan "beli" dan harga sasaran (TP) RM1.74 manakala Southern Cable tidak dinilai tetapi TP RM1.55 untuk kedudukan peneraju pasaran masing-masing dalam M&E dan pembuatan kabel,” tambahnya. - DagangNews.com