KUALA LUMPUR 20 Mei — Hasil Ranhill Utilities Berhad pada 2025 diunjur merosot sebanyak 13 peratus kepada kira-kira RM74.6 juta disebabkan berlaku peningkatan kos, kata MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut turut menganggarkan, hasil kumpulan berkenaan pada tahun berikutnya menurun sedikit sebanyak 1.1 peratus kepada kira-kira RM64.8 juta berikutan faktor yang sama.
Ia berkata, penurunan hasil itu susulan Ranhill Worley Sdn Bhd (RWSB) mengalami peningkatan kos yang berpunca daripada kerugian sebanyak RM7.9 juta menerusi dua projek iaitu P82 dan Kasawari.
"Kami mengurangkan anggaran hasil disebabkan peningkatan kos RWSB dan juga menyedari kumpulan itu menanggung perbelanjaan sukuk korporat sebanyak RM7.0 juta," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research menambah, walaupun hasil segmen air meningkat 4.3 peratus suku ke suku (q-o-q) kepada RM335.5 juta, namun keuntungan bersih Ranhill Utilities pula merosot 22 peratus q-o-q.
Kejatuhan kepada RM18.1 juta itu katanya, disebabkan peningkatan aktiviti pelunasan ke atas aset konsesi perkhidmatan, yang merupakan tahun pertama daripada keseluruhan tempoh operasi.
"Sementara itu, segmen tenaga kumpulan itu juga merosot kepada RM3.1 juta berbanding untung bersih RM3.3 juta pada 4QFY25, mungkin berikutan kos penyelenggaraan lebih tinggi," katanya.
Firma berkenaan namun menjangkakan anak syarikatnya, Ranhill SAJ akan terus menyumbang kukuh kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan, didorong oleh pertumbuhan pusat data di Johor.
Prospek pertumbuhan ekonomi akan datang dari Zon Kewangan Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata MIDF Research dijangka mampu membantu Ranhill Utilities untuk menjana hasil dan mengimbangi kerugian.
"Kami memahami, kumpulan ini bekerjasama rapat dengan YTL Power dan kerajaan negeri dalam mengenal pasti sumber air baharu serta penstrukturan semula tarif," kata firma penyelidikan itu.
Berdasarkan situasi semasa melibatkan isu RWSB itu, ia mengekalkan saranan "jual" ke atas Ranhill Utilities dan menyemak semula harga sasaran untuk lebih rendah kepada RM1.02 sesaham. - DagangNews.com








