Hasil Kossan diramal melonjak pada FY25 selepas untung bersih 1Q melebihi jangkaan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Kossan diramal melonjak pada FY25 selepas untung bersih 1Q melebihi jangkaan - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Mei — Hasil Kossan Rubber Industries Bhd diramal terus melonjak sepanjang tahun ini selepas mencatatkan keputusan positif pada suku pertama tahun kewangan 2025, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.


Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM31.9 juta, meningkat 29.1 peratus, melebihi unjuran setahun penuh sebanyak 26 peratus dan dalam unjuran konsensus 20 peratus.


Katanya, pendapatan kumpulan pembuat sarung tangan tersebut adalah lebih kukuh, dengan didorong oleh faktor hasil dan keuntungan sebelum margin cukai yang direkodkan sebagai tinggi daripada sumbangan segmen sarung tangan serta bilik bersih.


"Kami menaikkan keuntungan FY25 sebanyak 23 peratus terutamanya bagi harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi serta andaian margin keuntungan sebelum cukai bagi segmen sarung tangan dan bilik bersih," katanya dalam satu nota kajian.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan FY26, yang dianggap masih munasabah melalui tinjauan semasa selain memperkenalkan PATMI teras FY27 sebanyak RM264.8 juta, mewakili peningkatan 13 peratus.


Ia namun berkata, meskipun hasil yang lebih kukuh pada 1QFY25, Kossan dijangka merekodkan pendapatan mendatar pada suku kedua tahun ini, diikuti dengan prestasinya semakin teguh pada tempoh separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25).


Selain itu, HLIB Research berpendapat, segmen sarung tangan dan bilik bersih dijangka mencatatkan jumlah jualan suku tahunan mendatar kerana pelanggannya di Amerika Syarikat (AS) masih menggunakan inventori berlebihan daripada 4QFY24.


Mengenai harga, ia menjangkakan Kossan menurunkan ASP sekitar AS$0.5 hingga AS$1 (RM2.13 hingga RM4.25) setiap 1,000 keping sarung tangan pada 2Q, mencerminkan harga getah nitril butadiena lebih murah pada 1Q ketika persaingan sengit pasaran.


“Walaupun ringgit kukuh baru-baru ini berbanding dolar AS sejak akhir April, kami jangka segmen ini menjana hasil suku ke suku yang agak rata, terutamanya disokong oleh faktor penyederhanaan selanjutnya dalam kos bahan mentah pada 2Q," katanya.


HLIB Research menambah, bagi jumlah segmen keluaran getah, prestasi diunjur berurutan mendatar dan secara keseluruhan, hasil kumpulan dijangka kekal stabil pada 2Q, dengan pemulihan beransur-ansur diramalkan pada suku berikutnya. - DagangNews.com