Hasil IOI diramal bertambah dipacu harga sawit, pemulihan tuaian - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil IOI diramal bertambah dipacu harga sawit, pemulihan tuaian - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mei — IOI Corporation Berhad diramal mampu merekodkan hasil yang bertambah positif dengan dipacu oleh harga minyak sawit mentah (MSM) semakin stabil dan pemulihan tuaian buah tandan segar (BTS), kata Public Investment Bank Berhad (PublicInvest).


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berdasarkan unjuran pihak pengurusan kumpulan itu yang menjangkakan antaranya harga MSM akan dapat didagangkan dalam julat menggalakkan antara RM3,700 sehingga RM4,000 tan metrik (mt) untuk tempoh sebulan akan datang.


Selain itu, pengeluaran BTS pada suku keempat 2025 dijangka mengalami pemulihan secara ketara berbanding tempoh 3QFY25 sebelumnya, disebabkan oleh keadaan cuaca di ladang yang menggalakkan dan berakhirnya fasa kitaran rendah pengeluaran pokok kelapa sawit.


"Dalam segmen penapisan IOI, margin telah bertukar kepada positif pada 3QFY25, yang disokong oleh faktor peningkatan dalam peringkat duti eksport MSM kepada sebanyak 10 peratus sejak akhir tahun lepas," kata PublicInvest dalam satu nota kajiannya.


Bagaimanapun firma tersebut berkata, margin penapisan MSM dari Malaysia mungkin berkurangan dalam beberapa bulan yang akan datang kerana pemerintah Indonesia baru-baru ini dilapor telah bertindak pula menaikkan levi eksport untuk produk MSM keluarannya.


Sementara segmen oleokimia IOI kata firma penyelidikan berkenaan, dijangka menyaksikan prestasi yang lebih baik berikutan faktor penurunan secara mendadak dalam kos bahan mentah, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada harga minyak isirong sawit.


Kumpulan tersebut baru-baru ini merekodkan keuntungan bersih pada 3QFY25 yang meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM928.5 juta dipacu oleh perolehan kukuh daripada aktiviti perladangan yang bertambah 30 peratus kepada RM1.2 bilion.


Prestasi positif itu kata PublicInvest, turut dibantu oleh keadaan kos pengeluaran MSM pada sepanjang suku berkenaan yang meningkat daripada RM2,498 kepada RM2,530 mt meskipun IOI turut merekodkan penyusutan hasil dalam segmen penapisan dan oleokimia.


Berdasarkan potensi perkembangan tersebut, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" ke atas dagangan kumpulan berkenaan dengan harga sasaran masih tidak berubah kepada RM4.33 sesaham. - DagangNews.com