KUALA LUMPUR 15 April – Peningkatan harga minyak mentah global diyakini menjadi pemangkin utama kepada pemulihan pendapatan Hibiscus Petroleum Berhad, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Meskipun prestasi awal tahun kewangan 2026 (FY26) agak sederhana, firma penyelidikan itu masih mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) berkenaan.
Ia turut menetapkan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.74 sesaham, bersandarkan kepada prospek pendapatan yang lebih kukuh diunjurkan dalam tempoh separuh kedua tahun kewangan 2026.
"Permulaan FY26 yang perlahan berpunca daripada jumlah pengeluaran minyak yang lebih rendah akibat kerja penyelenggaraan dan penutupan sementara di beberapa aset utama," kata HLIB dalam notanya.
Bagaimanapun ujar firma berkenaan, operasi Hibiscus Petroleum kini sudah kembali normal, dengan jumlah pengeluaran dijangka meningkat manakala harga minyak direalisasi diramalkan lebih tinggi.
Pendapatan kumpulan tersebut pula jelasnya, berpotensi normal semula secara berperingkat, dengan pemulihan ini dijangka mula ketara pada tempoh suku ketiga FY26 dan berterusan ke suku keempat.

HLIB menegaskan syarikat O&G itu berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak global kerana pendedahannya yang banyak tertumpu kepada segmen huluan.
"Kami menganggarkan setiap kenaikan AS$10 (kira-kira RM39.46) setong Brent boleh meningkatkan harga saham Hibiscus Petroleum sekitar 34 sen, dengan perkaitan hubungan 77%," tambahnya.
Situasi berkenaan ujar firma penyelidikan tersebut, memandangkan harga jualan minyak syarikat secara langsung berpandukan kepada purata harga Brent secara mingguan semasa pengeluaran.
Berdasarkan situasi semasa, HLIB berpandangan kumpulan berkenaan adalah kekal antara penerima manfaat utama dalam persekitaran harga minyak di pasaran antaranya yang mahal pada ketika ini.
Dengan pengeluaran yang kembali stabil dan harga minyak kekal kukuh, Hibiscus Petroleum dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang lebih bermakna dalam tempoh akan datang. - DagangNews.com








