Hasil Hextar Capital susut kepada RM15.2 juta pada 5Q2025 disebabkan penurunan permintaan pembuatan, kejuruteraan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Hextar Capital susut kepada RM15.2 juta pada 5Q2025 disebabkan penurunan permintaan pembuatan, kejuruteraan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – Hextar Capital Berhad (HCB) mencatatkan hasil sebanyak RM15.2 juta bagi suku kelima berakhir 31 Disember 2025 (5Q2025), susut RM3.5 juta berbanding RM18.7 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya (4Q2025).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hextar berkata, penurunan itu disebabkan sumbangan lebih rendah daripada segmen pembuatan serta segmen perkhidmatan kejuruteraan dan dagangan berikutan permintaan pasaran yang lebih lembap dalam tempoh semasa.

 

“Bagaimanapun, kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM0.2 juta pada 5Q2025 disokong peningkatan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu.

 

“Ia juga susulan ketiadaan pelarasan nilai saksama sekali sahaja berjumlah RM7 juta ke atas pertimbangan luar jangka berikutan penyempurnaan pengambilalihan anak syarikat milik penuh, T & J Engineering Sdn. Bhd. (TJE) pada 4Q2025,” katanya dalam makluman itu.

 

Bagi tempoh 15 bulan berakhir 31 Disember 2025, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM86.9 juta, yang sebahagian besarnya disumbangkan oleh segmen pembuatan dan pembinaan, masing-masing merangkumi 66% daripada jumlah hasil kumpulan.

 

Dalam tempoh tersebut, HCB mencatatkan PAT sebanyak RM3.4 juta, didorong oleh bahagian keuntungan syarikat bersekutu sebanyak RM18.4 juta. 

 

Prestasi itu bagaimanapun diimbangi kerugian nilai saksama sekali sahaja berjumlah RM7 juta ke atas pertimbangan luar jangka, peruntukan hutang ragu sebanyak RM2.0 juta, kerugian pengubahsuaian aset kewangan RM1.8 juta serta kerugian operasi daripada segmen pembuatan.

 

Walaupun hasil kumpulan kekal sederhana, usaha strategik dalam memperkukuh sumbangan pendapatan daripada pelaburan dalam syarikat bersekutu menjadi faktor penting yang menyokong keuntungan keseluruhan.

 

Pengarah Urusannya, Johnson Chang berkata, keuntungan yang berterusan mencerminkan daya tahan model perniagaan kumpulan.

 

Beliau berkata, prestasi pendapatan yang konsisten itu menunjukkan kekuatan strategi pelaburan serta disiplin pengurusan kewangan yang diamalkan di seluruh kumpulan.

 

“Sumbangan positif daripada syarikat bersekutu, khususnya melalui penglibatan kami dalam sektor tenaga dan infrastruktur data, terus mengesahkan pendekatan strategik jangka panjang serta komitmen kami dalam menyampaikan nilai mampan kepada pemegang saham,” katanya.

 

Menurut beliau, meskipun hasil terus berdepan kelembapan kitaran dalam beberapa segmen teras, kumpulan kekal fokus dan berdisiplin dalam mengharungi cabaran bagi mengekalkan keuntungan.

 

Katanya, dengan projek-projek utama yang semakin rancak serta kontrak baharu yang memasuki fasa pelaksanaan, asas perniagaan kumpulan dijangka semakin kukuh secara berperingkat.

 

Kini, HCB merupakan kumpulan pelbagai segmen dengan operasi merangkumi pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan dan dagangan, penyelesaian infrastruktur rangkaian telekomunikasi, penjanaan dan penghantaran tenaga, pembinaan serta pengurusan projek dan pemberian pinjaman wang. - DagangNews.com