KUALA LUMPUR 25 Nov – George Kent (Malaysia) Berhad mencatat prestasi kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026) dengan hasilnya meningkat 62% kepada RM48.38 juta berbanding RM29.83 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, George Kent berkata, pertumbuhan ini disokong oleh prestasi mantap kedua-dua bahagian permeteran dan kejuruteraan, dengan permintaan domestik yang kukuh serta momentum positif di pasaran eksport.
“Bahagian permeteran mencatat hasil RM40.40 juta dan keuntungan operasi RM8.67 juta bagi suku ini, manakala bagi tempoh enam bulan terkumpul, bahagian tersebut merekodkan hasil RM72.40 juta.
“Produk Bacaan Meter Automatik (AMR) terus mendapat permintaan tinggi daripada syarikat pengendali air di rantau ini, seterusnya menyokong transformasi digital dan pengembangan syarikat di ASEAN,” kata George Kent.
Sementara itu, Bahagian Kejuruteraan terus meneroka peluang tender di seluruh Malaysia, terutamanya bagi projek infrastruktur strategik yang selaras dengan kepakaran teknikal dan rekod prestasi syarikat.
Bagi menghargai pemegang saham, Lembaga Pengarah George Kent telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.75 sen sesaham bagi FY2026, yang dijadual dibayar pada 8 Januari 2026 kepada pemegang saham yang tersenarai pada 18 Disember 2025.
Jumlah pembayaran dividen dianggarkan RM3.905 juta bagi 520,651,365 saham.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, prestasi kukuh ini membuktikan komitmen syarikat untuk terus memberikan nilai kepada pemegang saham melalui inovasi berterusan, pengurusan kos yang berhemah, serta pengembangan ke pasaran berpotensi tinggi.
Beliau turut memfokuskan perkembangan positif bagi meter air pintar ultrasonik berjenama pertama di Malaysia, dengan percubaan pengeluaran pertama dijadualkan pada suku keempat FY2026 sebagai satu lagi pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan berasaskan teknologi.
George Kent (Malaysia) Berhad merupakan syarikat kejuruteraan dan meter terkemuka dalam industri infrastruktur air, pengangkutan rel dan pembinaan hospital.
Syarikat itu juga membekalkan produk serta peralatan meter air untuk kegunaan rumah, industri dan loji, serta mengendalikan salah satu kilang penempaan tembaga panas terbesar di Asia Tenggara untuk pengeluaran meter air yang diiktiraf antarabangsa. - DagangNews.com








