KUALA LUMPUR 26 Mei — Gas Malaysia Berhad dijangka mencatatkan penyusutan hasil pada 2025 berdasarkan kepada trend harga minyak dan gas (O&G) semasa, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut mengunjurkan potensi kemerosotan harga gas domestik antara tujuh sehingga 10 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada FY25 yang berpandukan trajektori harga minyak mentah Brent.
Katanya, perkembangan berkenaan turut dinilai kepada prestasi harga gas domestik yang dilihat masih lagi ketinggalan berbanding harga minyak mentah dalam jurang selama tempoh enam sehingga tujuh bulan.
"Kami melihat kemungkinan berlaku sedikit kelemahan hasil Gas Malaysia pada 2Q25 berpunca insiden gangguan bekalan gas di Putra Heights, Selangor awal April 2025," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB bagaimanapun menambah, pemeriksaan saluran kemudian menunjukkan bekalan gas di kawasan terjejas telah dapat dipulihkan secara berperingkat terutamanya untuk segmen makanan dan minuman.
Keputusan kewangan Gas Malaysia katanya, bagi tempoh 1Q25 yang mencatatkan keuntungan bersih RM100 juta adalah selaras jangkaan memandangkan arah aliran volum lebih rendah secara berurutan.
Ia berkata, sebagai perbandingan, jumlah berkenaan menunjukkan kejatuhan dua peratus y-o-y dan juga penurunan sebanyak 11 peratus suku ke suku iaitu 24 peratus daripada ramalan firma tersebut.
"Susulan perkembangan terbaharu ini, kamu menganggarkan penyusutan sebulan penuh mengakibatkan kemerosotan kira-kira empat peratus daripada keseluruhan hasil Gas Malaysia pada FY25," katanya.
Secara keseluruhan, Maybank IB masih mengekalkan saranan "pegang" ke atas kumpulan berkenaan dengan harga sasaran sesaham pula dinaikkan kepada RM4.37 berbanding RM4.00 sebelum ini. - DagangNews.com








