KUALA LUMPUR 13 Mac – Keterlihatan kontrak sewaan kapal yang masih terhad dalam jangka pendek menjadi antara isu kritikal memberi tekanan kepada prospek pendapatan Coastal Contracts Berhad.
Menurut TA Securities, meskipun kemajuan projek pengembangan kumpulan itu berjalan mengikut jadual, kontrak semasa kapal TC7 yang beroperasi di rantau Timur Tengah pula dinilai berisiko.
Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tersebut dijangka tamat sekitar pertengahan Mac 2026, dan perbincangan mengenai lanjutan sambungan masih berjalan tanpa butiran tempoh yang dimuktamadkan.
“Pada masa sama, Coastal Contracts sedang berunding dengan penyewa berpotensi lain bagi memastikan kapal itu terus disewa sekurang-kurangnya untuk jangka pendek," katanya dalam analisis hari ini.
Berikutan keterlihatan yang terhad terhadap kontrak kapal tersebut, TA Securities menyemak turun unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 masing-masing kepada 5.2%, 1.0% dan 0.5%.
Ia berdasarkan andaian penyewaan konservatif, namun firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) sesaham RM1.97 berbanding RM2.21 sebelum ini.
Dari segi perkembangan operasi, Coastal Contracts memaklumkan pembinaan loji pemprosesan gas kedua di Papan kini mencapai 12% kemajuan, dengan tarikh operasi komersial dijangka suku keempat FY26.
"Sementara itu, projek loji Perdiz yang kedua pula sudah berjaya mencapai 56% kemajuan, serta dijangka dapat mula beroperasi sekitar akhir April atau awal Mei tahun ini," kata TA Securities.

Dalam pada itu, menurut pengurusan kumpulan, syarikat minyak Mexico, Petróleos Mexicanos masih belum memuktamadkan struktur amanah serta terma perjanjian berkaitan kontrak loji Perdiz kedua.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Coastal Contracts tetap berkeyakinan penuh isu perjanjian tersebut akan dapat dimeterai dalam tempoh masa terdekat sebelum tarikh operasi komersial yang disasarkan.
Pada masa ini, dua kemudahan pemprosesan gas itu beroperasi pada kapasiti penuh, dengan loji Papan mencatat 345 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) manakala loji Perdiz menghasilkan 185 mmscfd.
"Kontrak bagi loji Perdiz dijadualkan tamat pada Disember 2027, tetapi syarikat itu menjangkakan kemungkinan lanjutan kontrak berikutan peningkatan pengeluaran gas dari medan Ixachi," jelasnya.
Dalam perkembangan lain tambah TA Securities, unit JUGCSU milik Coastal Contracts yang sudah tidak beroperasi sejak November 2023 kini sedang dipasarkan secara aktif untuk tujuan dilupuskan.
Jelas firma berkenaan, siri perbincangan awal dengan beberapa pembeli berpotensi telah dimulakan, namun garis masa pelupusan masih belum dapat dipastikan kerana rundingan masih di peringkat awal.
Bagi memastikan aset tersebut kekal dalam keadaan sedia diperiksa, syarikat menjalankan pembaikan terhad terutama sistem turbin dengan kos tidak lebih RM10 juta, yang ditanggung pada 1HFY26.
"Secara keseluruhan, kami menilai kemajuan projek loji gas yang berjalan lancar serta operasi pada kapasiti penuh kekal menyokong prospek jangka sederhana Coastal Contracts," katanya. - DagangNews.com








