KUALA LUMPUR 14 Julai - Firma modal teroka Malaysia, Hartamodal Sdn Bhd membuat pelaburan domestik pertamanya melalui Dana Impian bernilai RM70 juta, dengan menyokong platform teknologi kesihatan dari India, Connect & Heal.
Ini merupakan satu pencapaian penting bagi Hartamodal, cabang modal teroka milik penuh Tradeview Capital Sdn Bhd, dalam usahanya untuk memperkasa usahawan Malaysia, sama ada di dalam atau luar negara, yang menunjukkan visi yang jelas dan keupayaan pelaksanaan yang kukuh.
Pengarah Eksekutif Hartamodal, Tan Cheng Wen berkata, pelaburan itu mencerminkan hasrat mereka untuk menyokong pengasas dari Malaysia yang berkemampuan untuk melaksanakan idea dan membantu kemajuan negara.
“Kami memberi tumpuan kepada menyokong pengasas yang berdaya tahan, yang mampu membina dan mempunyai visi untuk menyelesaikan masalah yang mencabar.
“Dana Impian adalah mengenai memberi peluang kepada usahawan dan membiayai impian mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cheng Wen berkata, rekod pencapaian Connect & Heal di India memberikan keyakinan kukuh terhadap potensinya untuk diterapkan semula di pasaran tempatan.
Dana Impian, yang menyasarkan syarikat yang mencatat keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA positif) atau aliran tunai positif, membuat pelaburan antara RM500,000 hingga RM10 juta merentasi pelbagai sektor.
Ini termasuk terutamanya dalam teknologi penjagaan kesihatan, tenaga boleh diperbaharui, teknologi kewangan (fintech), teknologi pertanian (agritech), pembuatan industri dan peruncitan pengguna.
Connect and Heal diasaskan pada 2017 oleh tiga beradik rakyat Malaysia iaitu Galveen Kaur, Elwinder Singh dan Salveen Kaur bersama rakan pengasas mereka, Sanjay Vinayak.
Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh kepada lebih 600 syarikat termasuk 30 syarikat Fortune Global 500.
Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk rundingan teleperubatan, ujian darah atas permintaan, makmal patologi, perkhidmatan ambulan, dan analitik berkuasa kecerdasan buatan untuk syarikat insurans.- DagangNews.com








