Hartalega catat lonjakan untung bersih suku kedua kepada RM18.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega catat lonjakan untung bersih suku kedua kepada RM18.3 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovHartalega Holdings Bhd mencatat lonjakan lebih dua kali ganda dalam keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2025, disokong pengurangan kos pengeluaran dan keuntungan daripada aktiviti lindung nilai, meskipun pendapatan merosot akibat tekanan permintaan global.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 30 September 2025 (2QFY2025) meningkat kepada RM18.3 juta, berbanding tempoh sama sebelumnya. 

 

Pendapatan pula susut 17% kepada RM539.66 juta berbanding tahun lalu disebabkan jumlah jualan yang rendah serta penurunan harga jualan purata (ASP) berikutan kelemahan resit eksport.

 

Hartalega menjelaskan, pasaran sedang menunjukkan isyarat pemulihan permintaan.

 

“Penyusutan stok era pandemik telah mencetuskan aktiviti mengisi semula yang baharu, menandakan pemulihan perlahan tetapi stabil dalam permintaan global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku dalam kajian.

 

Kenaikan nilai ringgit lebih 7% berbanding dolar AS setakat tahun ini turut mengecilkan keuntungan hasil jualan yang didenominasikan dalam dolar apabila diterjemah ke mata wang tempatan.

 

Dalam masa sama, industri sarung tangan global terus berdepan lambakan bekalan, dengan pesaing dari China memperluas operasi ke negara Asia Tenggara bagi mengelak tarif AS. 

 

Kemasukan tambahan sarung tangan China ke pasaran bukan AS telah meningkatkan tekanan ke atas pengeluar Malaysia.

 

Walau berdepan cabaran, Hartalega kekal optimis.

 

“Kami yakin mampu mengatasi gangguan yang sedang berlaku dalam sektor ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Kuan Mun Leong, dalam kenyataan itu.

 

Bagi enam bulan pertama tahun kewangan, keuntungan bersih susut 24% kepada RM30.91 juta, dipengaruhi kejatuhan volum jualan dan kesan negatif turun naik mata wang. 

 

Pendapatan separuh tahun pula menurun 12% kepada RM1.09 bilion.

 

Mun Leong berkata, syarikat komited meningkatkan daya saing operasi.

 

“Kami akan terus mempertingkatkan kecekapan pengeluaran melalui automasi dan digitalisasi, di samping mengekalkan pengurusan kewangan berhemat bagi menyokong pemantapan prestasi untuk baki tahun kewangan,” katanya. - DagangNews.com