Hartalega cabar tuntutan cukai RM101 juta LHDN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega cabar tuntutan cukai RM101 juta LHDN

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Ogos  – Unit milik penuh Hartalega Holdings Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd (NGC), telah mengambil tindakan undang-undang untuk membantah tuntutan cukai tambahan berjumlah RM101 juta yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, NGC memfailkan semakan kehakiman bagi membatalkan penilaian tersebut dan mendapatkan penangguhan penguatkuasaan sehingga keputusan mahkamah diperoleh.

 

“NGC telah memfailkan permohonan untuk memulakan semakan kehakiman pada 18 Ogos 2025, termasuk memohon perintah certiorari bagi membatalkan penilaian tersebut, serta perintah penangguhan semua prosiding dan penguatkuasaan berkaitan penilaian itu sehingga keputusan akhir permohonan semakan kehakiman diperoleh,” menurut kenyataan itu.

 

Tuntutan cukai ini melibatkan tahun 2017, 2018, 2020, dan 2021, susulan pengumuman terdahulu pada 5 Ogos yang menyenaraikan keseluruhan *penilaian tambahan bagi tahun 2017 hingga 2022, berjumlah RM101.36 juta.

 

Secara terperinci, penilaian bagi setiap tahun adalah seperti berikut: RM13.92 juta (2017), RM36.35 juta (2018), RM10,695 (2019), RM32.89 juta (2020), RM18.10 juta (2021), dan RM90,624 (2022).

 

Bagi tahun 2016, NGC menerima notifikasi tidak dikenakan cukai, mengesahkan tiada cukai tambahan yang perlu dibayar.

 

NGC mengendalikan Next Generation Integrated Glove Manufacturing Complex (NGC) milik Hartalega di Sepang. Menurut laporan tahunan syarikat, kompleks ini mula dibina pada 2013, dengan loji terbaru disiapkan pada 2020.  - DagangNews.com