KUALA LUMPUR 15 April – Harga tayar di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh terdekat berikutan tekanan kos bahan mentah berasaskan petrokimia, selain kenaikan harga minyak mentah dan gangguan rantaian bekalan global, menurut pemain industri.
Presiden Persatuan Pengilang Tayar Celup Malaysia (TRMAM), Wong Jin How berkata industri kini berdepan tekanan kos pengeluaran yang semakin ketara, khususnya bagi bahan utama seperti getah sintetik dan karbon hitam yang bergantung kepada derivatif petroleum.
Beliau berkata lebih 50% kos bahan mentah industri berkait secara langsung dengan harga minyak mentah dengan sebut harga daripada pembekal menunjukkan peningkatan melebihi 20% baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata bahan berkaitan petroleum seperti pelarut, plastik pembungkusan, kos logistik serta proses pengeluaran berintensif tenaga turut menyumbang kepada peningkatan kos keseluruhan.
“Sebarang pergerakan harga minyak mentah memberi kesan terus kepada kos pengeluaran. Dalam keadaan semasa, pelarasan harga hampir tidak dapat dielakkan,” katanya, lapor The Star.
Wong berkata, berdasarkan keadaan semasa, pelarasan harga dijangka berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang sekiranya tekanan kos dan kekangan bekalan berterusan.
Beliau berkata ketidaktentuan bekalan dan kesukaran membina inventori turut menyukarkan pengeluar untuk menstabilkan kos.
“Segmen kenderaan komersial seperti lori, bas dan armada logistik dijangka paling terkesan kerana penggunaan tayar yang tinggi serta kekerapan penggantian,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tayar Utara Malaysia, Hoo Khun Khiang berkata pengeluar tayar di China dan Thailand telah memberi isyarat kenaikan harga sekitar 4% hingga 5%, yang berkemungkinan akan diikuti oleh pengeluar tempatan.
Dalam perkembangan berkaitan, pengusaha runcit Tyres Pro Marketing berkata pihaknya telah menerima isyarat awal kenaikan harga daripada pengeluar bagi produk tayar tertentu.
Wakil syarikat itu, JL Lin berkata kenaikan kos bahan mentah khususnya komponen berasaskan petrokimia seperti getah sintetik berkemungkinan menyebabkan peningkatan harga tayar sekitar 5% hingga 10%.
“Dalam keadaan biasa, kenaikan mungkin lebih tinggi. Namun, disebabkan kelembapan ekonomi tempatan, permintaan yang lebih lemah serta persaingan pasaran yang sengit, pengeluar mengambil pendekatan lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata walaupun tekanan kos semakin meningkat, pelarasan harga dilakukan secara berperingkat bagi mengekalkan daya saing pasaran.
Menurutnya lagi, kenaikan harga ini akan memberi kesan kepada pengguna akhir serta sektor pengangkutan dan logistik yang bergantung kepada kos operasi yang stabil. - DagangNews.com








