Harga simen naik 0.2 hingga 1.1 peratus pada Februari 2026, Kuching catat peningkatan tertinggi - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga simen naik 0.2 hingga 1.1 peratus pada Februari 2026, Kuching catat peningkatan tertinggi - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mac – Harga bahan binaan mencatatkan perubahan kecil pada bulan Februari 2026 berbanding bulan sebelumnya dengan simen menunjukkan peningkatan antara 0.2 peratus hingga 1.1 peratus.

 

Kuching mencatatkan kenaikan tertinggi bagi harga simen iaitu 1.1 peratus, manakala negeri Perak mencatat kenaikan sebanyak 0.4 peratus. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan ini menunjukkan variasi harga bahan binaan yang berbeza-beza mengikut lokasi, dipengaruhi oleh kos logistik dan bekalan tempatan.

 

“Harga batu baur juga meningkat sedikit pada Februari 2026, dengan perubahan antara 0.1 peratus hingga 3.4 peratus di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

 

“Harga besi pula mencatatkan penurunan antara 0.2 peratus hingga 1.4 peratus berbanding bulan Januari 2026,” katanya dalam Laporan Indeks Bahan Binaan Februari 2026 yang diterbitkan hari ini.

 

Perbandingan tahunan menunjukkan penurunan yang lebih ketara antara 1.2 peratus hingga 8.1 peratus di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan penurunan paling tinggi direkodkan di Kuching, Sibu dan Miri.

 

Penurunan harga besi paling ketara dicatat di Kuching dengan 8.1 peratus, diikuti Sibu sebanyak 7.1 peratus dan Miri 6.8 peratus.

 

Selain itu beliau berkata indeks harga keratan keluli dan logam lain mencatatkan kenaikan kecil antara 0.3 peratus hingga 1.6 peratus di semua kawasan.

 

Purata harga bar keluli termasuk bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars bagi Februari 2026 ialah RM3,404.40 per tan metrik, sedikit menurun daripada RM3,454.00 pada bulan sebelumnya. 

 

Purata harga simen Ordinary Portland pula meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus, iaitu RM25.35 bagi setiap 50 kg seguni berbanding RM25.30 pada bulan Januari 2026. 

 

Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) di Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan kecil antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan. 

 

Beliau berkata penurunan ini mungkin disebabkan oleh pengaruh harga besi yang menurun serta bekalan bahan binaan yang lebih mencukupi di beberapa kawasan.

 

“Di Perak dan Johor, IKB meningkat sedikit antara 0.1 peratus hingga 0.4 peratus, manakala di Sabah hampir semua kategori bangunan mencatatkan kenaikan antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus,” katanya.

 

Di Sarawak, Kuching mencatatkan penurunan kecil 0.1 peratus bagi semua kategori bangunan kecuali bangunan kayu dan cerucuk kayu, manakala Sibu dan Miri menunjukkan kenaikan kecil antara 0.1 peratus dan 0.2 peratus. - DagangNews.com