Harga saham UEM Sunrise terlalu murah berbanding nilai aset sebenar, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga saham UEM Sunrise terlalu murah berbanding nilai aset sebenar, kata RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 April – Prestasi lemah sektor hartanah dan tekanan sentimen pasaran susulan ketidaktentuan global kini menekan penilaian syarikat pemaju, menurut analisis RHB Research.


Bagaimanapun dalam keadaan itu, UEM Sunrise Berhad dilihat muncul sebagai sasaran pengambilalihan yang menarik, dengan firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas sahamnya.


Ia menetapkan harga sasaran (TP) baharu iaitu 86 sen, walaupun lebih rendah berbanding RM1.09 sebelum ini, yang mencerminkan potensi kenaikan sebanyak 71% serta hasil dividen sekitar 2%.


"UEM Sunrise antara saham hartanah berprestasi paling lemah bagi tahun ini, dan penilaiannya kini dianggap terlalu murah berbanding nilai sebenar aset, khususnya di Johor," kata RHB Research.


Berdasarkan permodalan pasaran semasa sekitar RM2.6 bilion, nilai tersirat tanah syarikat itu di negeri tersebut hanyalah kira-kira RM13 sekaki persegi, jauh lebih rendah daripada harga pasaran.


Kenaikan nilai tanah di kawasan tersebut dipacu oleh pemangkin utama seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka merancakkan aliran pelaburan dan permintaan hartanah.


Ujar RHB Research, Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise yang baharu, Shaharul Farez Hassan memberi fokus untuk meningkatkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) sehingga tiga kali ganda dalam lima tahun.

 

UEM Sunrise_DagangNews


"Beliau merancang sasaran itu melalui usaha penyegeraan pembangunan projek dan monetisasi tanah di Gerbang Nusajaya dalam koridor pembangunan ekonomi Iskandar Malaysia," jelas firma berkenaan.


Kira-kira 405 hektar tanah tambahnya, sudah dikenal pasti kumpulan itu untuk dikomersialkan dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion, dan dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan.


Pada masa sama kata RHB Research, UEM Sunrise juga dilaporkan berhasrat untuk terus mengekalkan nisbah pembayaran dividen sekitar 60% bagi mengimbangi pengembangan ekuiti syarikat berkenaan.


Selain itu ujarnya, kumpulan tersebut ada merancang membangunkan taman perindustrian seluas 163 hektar dengan pelancaran fasa pertama kilang siap bina dijadualkan pada tempoh separuh kedua 2027.


"Dari sudut permintaan, kami melihat pasaran hartanah di Iskandar Malaysia kekal berdaya tahan, melalui kejayaan projek Aspira Place dengan GDV RM220 juta dan mencatatkan jualan baik," katanya.


RHB Research namun menurunkan TP dengan menggunakan diskaun lebih tinggi sebanyak 60% berbanding 50% sebelum ini, mengambil kira cabaran semasa termasuk risiko ketidaktentuan ekonomi semasa.


Secara keseluruhan, walaupun berdepan kelemahan asas jangka pendek, UEM Sunrise memiliki nilai yang besar serta berpotensi sekiranya penilaian semasa kekal rendah. - DagangNews.com