KUALA LUMPUR 6 Mei — Lotte Chemical Titan Holding Berhad diunjur kekal berdepan cabaran ketika berlaku penurunan harga jualan purata (ASP) polimer berikutan ada jangkaan peningkatan bekalan minyak antarabangsa, kata TA Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, langkah Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) menambah pengeluaran sehingga 2.2 juta tong sehari menjelang November 2025 mungkin merupakan berita yang baik kepada syarikat berkenaan sendiri.
Bagaimanapun ia menambah, syarikat tersebut berkemungkinan dalam situasi kedudukan kewangan negatif atau merekodkan kerugian pada suku akan datang kerana sebaran produknya menunjukkan hanya terjadi sedikit tanda pemulihan dalam masa terdekat.
"Walaupun kos bahan suapan lebih rendah dan kadar operasi berkurangan menawarkan sedikit kelegaan margin, kami percaya Lotte Chemical Titan kekal rugi berikutan hasil diterima hanya menampung kos tetap," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities berkata, syarikat itu bernasib baik apabila OPEC+ mengakibatkan harga minyak global jatuh dan seterusnya akan menurunkan pelbagai kos bahan mentah berkaitan terutama polimer yang pada 1QFY25 berada AS$1,036 (RM4,386) tan.
Ia merupakan kejatuhan 1.3 peratus tahun ke tahun (YoY) yang mencerminkan tekanan harga berterusan dan bagi suku semasa, dengan kadar penggunaan syarikat itu berada 46 peratus manakala pengurusannya menjangkakan 45 hingga 50 peratus pada 2025.
Angka tersebut adalah rendah berbanding 50 hingga 55 peratus pada 2024 yang menunjukkan permintaan bahan itu berkurangan tahun ini dan seterusnya firma berkenaan menjangkakan penurunan keseluruhan dalam hasil Lotte Chemical Titan.
"Walaupun kerugian jangka pendek mungkin mengecil sedikit disebabkan kos bahan mentah yang lebih rendah, kami bimbang cabaran keuntungan struktur akan bertambah dan boleh mengehadkan fleksibiliti kewangan syarikat," kata TA Securities.
Firma itu merujuk keputusan 1QFY25 yang mencatatkan kerugian bersih semakin kecil sebanyak RM139.5 juta, didorong sebahagian besarnya oleh penyebaran produk lebih baik daripada jangkaan manakala hasil menurun sebanyak 16.9 peratus.
Selaras dengan unjuran pendapatan yang disemak, firma itu menurunkan harga sasaran kepada 41 sen sesaham berbanding sebelumnya 64 sen serta mengekalkan saranan "jual" terhadap prospek saham Lotte Chemical Titan. - DagangNews.com








