Harga minyak mentah mahal diramal menguntungkan Dialog, kata Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah mahal diramal menguntungkan Dialog, kata Maybank IB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Mac — Lonjakan harga minyak mentah global susulan ketegangan di Timur Tengah muncul sebagai pemangkin utama prestasi Dialog Group Berhad, menurut Maybank Investment Bank.


Firma penyelidikan tersebut dalam analisisnya hari ini meramalkan, perkembangan geopolitik di rantau itu berpotensi meningkatkan keuntungan segmen huluan dan aliran tunai kumpulan berkenaan.


Berdasarkan situasi semasa itu, ia mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham syarikat tersebut tetapi dengan harga sasaran (TP) sesaham lebih tinggi iaitu RM2.28 berbanding RM2.21 sebelum ini.


"Kami turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY26 hingga FY28 antara 7% hingga 13% selepas diambil kira andaian harga minyak mentah lebih tinggi bagi tempoh itu," kata Maybank IB.


Dialog merupakan antara penerima manfaat utama kenaikan harga minyak kerana pendedahan segmen huluan, dan disokong hasil berulang dengan kestabilan aliran tunai daripada aset terminal tangki.


Menurut firma berkenaan, harga penanda aras minyak global, Brent yang melonjak melebihi AS$100 (RM394) setong dijangka menyokong prestasi kewangan kumpulan lebih kukuh pada separuh kedua FY26.


Syarikat itu ketika ini memiliki dua aset pengeluaran huluan iaitu usaha sama (JV) 50% dengan Pan Orient Energy Corp di Thailand dan pegangan 20% kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Sarawak.

 

Dialog


"Segmen huluan menyumbang kira-kira 20% kepada pendapatan teras kumpulan ini pada suku kedua FY26, dengan kadar penggunaan terminal tangki dilaporkan hampir penuh melebihi 90%," jelas Maybank IB.


Situasi itu mencerminkan permintaan kukuh terhadap kemudahan penyimpanan tenaga dikendalikan Dialog, manakala ketidaktentuan geopolitik lazimnya mendorong aktiviti strategik oleh pedagang.


Ini tambah firma berkenaan, termasuk syarikat minyak nasional bagi menjamin keselamatan bekalan, sekali gus berpotensi meningkatkan kadar sewaan tangki kumpulan itu untuk tempoh lebih panjang.


Kata Maybank IB, setiap kenaikan 10% dalam kadar semasa dianggarkan mampu meningkatkan pendapatan Dialog sekitar 4%, walaupun senario positif tersebut belum lagi dimasukkan dalam unjuran semasa.


"Bagi segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), ia ada perlindungan terhadap kenaikan kos bahan mentah kerana sebahagian bekalan diperoleh lebih awal," ujarnya.


Ketika ini, ia melaksanakan tiga projek utama EPCC termasuk pembangunan tangki untuk EcoCeres, perluasan Pengerang Biorefinery serta pembinaan tangki 614,000 meter padu untuk BP Singapura.


Secara keseluruhan, Maybank IB berpandangan Dialog kekal berada pada kedudukan kukuh memanfaatkan persekitaran harga minyak tinggi, disokong gabungan segmen huluan dan aset pertengahan. - DagangNews.com