Harga minyak mentah dikhuatiri kekal AS$100 setong susulan risiko geopolitik Timur Tengah – MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak mentah dikhuatiri kekal AS$100 setong susulan risiko geopolitik Timur Tengah – MBSB Research

Foto kredit AFP
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Mac — Harga minyak mentah global dijangka kekal tinggi AS$100 (RM392) setong dalam tempoh terdekat susulan ketidaktentuan geopolitik di rantau Timur Tengah, menurut MBSB Research.


Tambah firma penyelidikan berkenaan, risiko masih berterusan termasuk serangan ke atas kemudahan minyak dan gangguan laluan perkapalan utama di Selat Hormuz yang sudah dikawal ketat tentera Iran.


Katanya, harga sebelum ini melonjak hampir AS$120 (RM471) setong selepas beberapa fasiliti minyak dan gas (O&G) di rantau itu menjadi sasaran serangan, serta mencetuskan kebimbangan gangguan stok.


"Bagaimanapun, harga susut kepada AS$90 (RM353) setong selepas Amerika Syarikat (AS) memberikan bayangan konflik itu berkemungkinan bersifat jangka pendek," jelas MBSB Reserach dalam notanya.


Walaupun berlaku pembetulan harga, ia menegaskan ketidaktentuan masih tinggi memandangkan beberapa kemudahan rosak dan kesan sebenar terhadap kapasiti pengeluaran masih belum dapat dipastikan.


Selain itu, risiko kepada rantaian bekalan tenaga global kekal tinggi ekoran aktiviti ketenteraan di Selat Hormuz, yang merupakan laluan penting bagi kira-kira 20% perdagangan minyak dunia.


Jelas MBSB Research, walaupun laluan dibuka terhad, kehadiran ketenteraan di zon itu berpotensi meningkatkan kos penghantaran, premium insurans dan cabaran logistik bagi perdagangan tenaga.


"Dalam menilai prospek harga minyak, kami menggunakan pendekatan analisis berasaskan senario, antaranya konflik bersifat kinetik selama tiga minggu tanpa gangguan berterusan," kata firma itu.

 

MISC


Keadaan ini dijangka menyebabkan harga minyak kembali stabil selepas kebimbangan bekalan reda, manakala bagi senario dianggap kes asas, konflik masih berlangsung lagi selama beberapa minggu.


Serangan ke atas aset strategik serta gangguan berkala terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz namun terhad, dan, harga minyak dijangka kekal tinggi disebabkan ada premium risiko geopolitik.


Sementara itu, senario terakhir menggambarkan situasi lebih buruk dengan konflik berpanjangan dan gangguan serius kepada laluan perkapalan, yang boleh mencetuskan lonjakan mendadak harga minyak.


"Berdasarkan perkembangan semasa, kami mengekalkan senario kes asas, dengan jangkaan harga minyak mentah penanda aras Brent kekal dalam julat AS$90 hingga AS$100 setong," kata MBSB Research lagi.


Firma penyelidikan itu turut menjangka harga minyak yang kekal tinggi akan menggalakkan syarikat minyak global meningkatkan aktiviti pelaburan dalam penerokaan dan pembangunan medan minyak.


Keadaan ini jelasnya, berpotensi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan luar pesisir, aktiviti penyelenggaraan dan sokongan pengeluaran dalam sektor O&G di Malaysia sendiri.


Sehubungan itu, MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap beberapa syarikat penyedia perkhidmatan huluan yang dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan aktiviti industri.


"Antara pilihan utama kami ialah Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad dengan harga sasaran (TP) sesaham 55 sen, Deleum Berhad (RM1.92) dan Bumi Armada Berhad (54 sen).


Menurutnya, syarikat-syarikat ini berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan dalam bidang mereka sekiranya pelaburan huluan meningkat. - DagangNews.com