Harga cip memori tinggi ancam permintaan sektor semikonduktor, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga cip memori tinggi ancam permintaan sektor semikonduktor, kata TA Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mac — Kenaikan berterusan harga cip memori dilihat menekan permintaan produk elektronik pengguna dan menjejaskan rantaian nilai semikonduktor global, kata TA Securities.


Bagaimanapun menurut firma penyelidikan tersebut, industri berkenaan sebenarnya sedang menikmati kitaran pertumbuhan baharu yang dinilai dipacu kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).


Jelasnya, kos memori namun kekal tinggi susulan kekangan bekalan yang memberi tekanan margin, dengan sebahagian kos terpaksa dipindahkan kepada pengguna melalui harga peranti yang lebih mahal.


“Situasi ini turut memperlahankan kitaran naik taraf peranti seperti telefon pintar dan komputer peribadi, sekali gus menjejaskan jumlah penghantaran global," kata TA Securities dalam notanya.


Keadaan tersebut tambah firma itu, dapat dilihat khususnya dalam segmen pengguna yang sensitif terhadap harga, dengan kekurangan bekalan memori dijangka tidak pula reda dalam tempoh terdekat.


Situasi itu memandangkan penambahan kapasiti pengeluaran biasanya memerlukan sekurang-kurangnya 12 bulan bagi pembinaan kemudahan, pemasangan peralatan serta peningkatan kadar hasil pengeluaran.


Walaupun berdepan cabaran tersebut, industri semikonduktor global kata TA Securities, mencatat pertumbuhan kukuh, dengan jualan naik 3.7% bulan ke bulan (MoM) dan 46.1% tahun ke tahun (YoY).


"Ia sekali gus menandakan peningkatan tahunan bagi bulan ke-27 berturut-turut selepas industri mencatat jualan rekod global AS$795.6 bilion (RM3.1 trilion) pada 2025, naik 26.2% YoY," katanya. 
 

semikonduktor


Menurut firma penyelidikan berkenaan, pertumbuhan industri semikonduktor pada tahun lalu didorong oleh hampir semua kategori produk, dengan segmen logik dan memori muncul sebagai pemacu utama.


Ujarnya, segmen cip logik merekodkan pertumbuhan 38.8% YoY, disokong permintaan cip berprestasi tinggi yang digunakan dalam pusat data (DC), pemecut AI serta aplikasi pengkomputeran lanjutan.


Dalam masa sama tambah TA Securities, segmen memori berkembang 39% YoY berikutan pemulihan harga serta permintaan kukuh terhadap penyelesaian memori berkapasiti tinggi dan berjalur lebar tinggi.


"Dari segi prestasi berdasarkan rantau, pertumbuhan tahunan pada Januari 2026 dipacu oleh hampir semua rantau kecuali Jepun yang mencatatkan penurunan kira-kira 6.2% YoY," jelas firma tersebut.


Meskipun permintaan berkaitan AI katanya, terus menyokong pertumbuhan industri, ia mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor semikonduktor, disebabkan isu peningkatan harga memori.


Keadaan itu dikhuatiri mengekang permintaan segmen elektronik pengguna, justeru ia mengenakan diskaun 2 kali terhadap gandaan harga-keuntungan sasaran bagi syarikat-syarikat penyumberan luar.


TA Securities namun berpandangan perkembangan sektor semikonduktor tempatan akan terus disokong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 pada tahun lalu.


"Antara risiko utama sektor ini termasuk ketidaktentuan dasar Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan rantaian bekalan global, jualan lebih lemah, dan pengukuhan ringgit," katanya. - DagangNews.com