KUALA LUMPUR 20 Feb – Kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) naik kepada 1.6% tahun ke tahun (YoY) pada Januari 2026, namun penganalisis memberi amaran harga akan meningkat secara beransur-ansur.
Mereka khuatir tekanan tersebut susulan daripada perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), selain rasionalisasi subsidi bersasar serta semakan tarif utiliti di beberapa negeri sepanjang tahun ini.
Data rasmi menunjukkan inflasi teras masih stabil pada 2.3% YoY, mencerminkan tekanan harga asas yang terkawal, meskipun faktor kos domestik dan pelarasan dasar fiskal terus menjadi risiko utama.
Menurut Maybank Investment Bank, kadar inflasi dijangka sederhana pada 2026 dengan purata 1.8% berbanding 1.4% pada 2025, yang mengambil kira kesan pelarasan cukai berkaitan kepenggunaan.
"Kenaikan kos buruh, semakan kadar utiliti dan rasionalisasi subsidi bersasar juga antara faktor, namun kesannya masih boleh diurus berikutan pengukuhan ringgit meredakan kos import," katanya.
Dari segi komponen, inflasi makanan dan minuman kekal pada 1.5% YoY, manakala minuman beralkohol dan tembakau meningkat 2.5% YoY susulan kenaikan duti eksais yang berkuat kuasa 1 November 2025.
Kos perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain naik kepada 1.2% YoY (Disember 2025: 0.9%) berikutan pelaksanaan tarif air baharu di beberapa negeri termasuk Johor, Kedah serta Selangor.
Bagaimanapun kata Maybank IB, tekanan harga tenaga kekal reda apabila subkumpulan elektrik, gas dan bahan api lain mencatat penyusutan 7.2% YoY berikutan kos rendah oleh Tenaga Nasional Berhad.
"Inflasi pengangkutan turut menurun kepada -0.7% YoY sejajar harga minyak global yang lebih rendah serta pelaksanaan subsidi RON95 bersasar pada harga RM1.99 seliter bagi warganegara yang layak.
Artikel berkaitan: Inflasi Malaysia naik 1.6% pada Januari 2026 - DOSM
Secara umum, firma itu berpandangan tekanan inflasi 2026 adalah sederhana, sementara MBSB Research pula menyifatkan bacaan inflasi pada Januari lalu sebagai masih dalam jangkaan pasaran.
Ia namun menekankan trend kenaikan secara beransur-ansur sejak paras terendah 1.1% YoY pada Jun 2025, dan menilai inflasi bukan makanan akan meningkat lebih pantas dalam beberapa komponen.
Situasi lonjakan berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, termasuk segmen penjagaan diri dan perkhidmatan sosial (+6.6% YoY), pendidikan (+3.2% YoY) serta perumahan dan utiliti (+1.2% YoY).
"Inflasi teras kekal 2.3% YoY menunjukkan tekanan harga asas terkawal, namun bacaan bulanan naik 0.4% MoM; terpantas sejak Januari 2025, memberi isyarat momentum terus kukuh," kata MBSB Research.
Justeru ia menjangkakan inflasi 2026 dipengaruhi peralihan subsidi bersasar dan penyatuan fiskal, tetapi kesannya diseimbangkan oleh harga makanan global yang menyusut serta ringgit lebih kukuh.
Data Indeks Harga Pengeluar (PPI) pula jelas firma berkenaan, menunjukkan berlaku penyusutan yang ketara kira-kira 2.7% YoY pada Disember 2025, menandakan kos di peringkat pengeluar masih lemah.
MBSB Research menambah, jurang antara deflasi PPI dan inflasi IHP yang semakin melebar turut memberi gambaran tekanan kos sebenarnya masih belum dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna akhir.
"Risiko utama kekal pada isu perluasan skop SST ke atas barangan makanan import yang terpilih serta potensi gangguan bekalan makanan domestik akibat faktor cuaca buruk," menurutnya lagi.
Pada masa sama jelas firma itu, pelarasan gaji sektor awam fasa kedua dan bantuan tunai kerajaan dinilai berpotensi menyokong permintaan domestik, namun dalam kadar yang dianggap masih terkawal.
Secara keseluruhannya, kedua-dua firma itu bersetuju inflasi pada awal 2026 kekal stabil, tetap bergantung kepada dasar fiskal, harga komoditi serta kestabilan nilai ringgit. - DagangNews.com








