KUALA LUMPUR 5 Mac – Seramai 4.42 juta atau 58.8 peratus rakyat Malaysia yang bekerja secara formal dan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masih belum cukup simpanan untuk persaraan dan berisiko menghadapi kesukaran menampung kos hidup selepas bersara jika tiada usaha tambahan dilakukan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata data setakat akhir 2025 itu menunjukkan seramai 3.1 juta atau 41.2 peratus pencarum sektor formal berumur antara 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap Simpanan Asas mengikut umur.
Beliau berkata berdasarkan unjuran semasa, menjelang tahun 2030, kira-kira 60 peratus ahli berpotensi mencapai tahap Simpanan Asas, iaitu anggaran simpanan sekitar RM390,000 pada umur 60 tahun, sekiranya terus mencarum secara konsisten dan mengekalkan simpanan dalam akaun persaraan.
“Kerajaan melalui KWSP komited untuk memastikan simpanan persaraan tidak berkurang akibat pengeluaran awal dengan memperkenalkan penanda aras Retirement Income Adequacy (RIA) yang membantu ahli menilai sama ada simpanan mereka cukup sebelum membuat pengeluaran dan menggalakkan perancangan kewangan jangka panjang.
“Pelbagai langkah turut dilaksanakan untuk memperkukuh simpanan persaraan termasuk pengstrukturan akaun, pengenalan Akaun Fleksibel, galakan caruman sukarela, serta promosi aktif program i-Simpan, i-Saraan dan i-Topup.
“KWSP juga menggalakkan pengeluaran secara bayaran bulanan berbanding pengeluaran sekaligus, bagi memastikan simpanan terus berkembang melalui kesan penggandaan dividen,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng yang ingin tahu jumlah pencarum KWSP yang berisiko tidak mempunyai wang persaraan mencukupi dan langkah kerajaan mengatasinya di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu Amir Hamzah berkata kerajaan melaksanakan dasar ekonomi untuk merancakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat, yang secara tidak langsung membantu pertumbuhan caruman KWSP.

“Sehingga Disember 2025, bilangan majikan aktif berdaftar dengan KWSP meningkat 4.2 peratus kepada 640,391, manakala bilangan pekerja sektor formal yang mencarum turut meningkat 3.3 peratus kepada 8.2 juta.
“Gaji median ahli aktif sektor formal warganegara Malaysia juga menunjukkan peningkatan, daripada RM2,600 pada 2024 kepada RM2,764 pada 2025, sekali gus menyokong kemampuan rakyat membuat simpanan lebih tinggi.
“Jumlah caruman tahunan ahli KWSP meningkat kepada RM120 bilion pada 2025, 12 peratus lebih tinggi berbanding RM107.1 bilion pada 2024,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh simpanan, KWSP melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk penstrukturan semula akaun persaraan yang menambah RM15.7 bilion ke dalam Akaun Persaraan dan galakan caruman melebihi kadar berkanun melalui program i-Topup.
Program sukarela lain seperti i-Sayang melibatkan pindahan caruman RM371.3 juta daripada 187,000 suami manakala i-Simpan mencatatkan caruman sebanyak RM15.25 bilion daripada 687,000 ahli.
Program i-Saraan pula merekodkan caruman sebanyak RM3.97 bilion daripada 720,056 ahli, peningkatan 50.8 peratus berbanding 2024, dengan insentif kerajaan sebanyak RM206.75 juta untuk tahun 2025.
Meskipun terdapat peningkatan, tahap kecukupan simpanan persaraan masih belum pulih sepenuhnya, terutamanya akibat pengeluaran khas semasa pandemik COVID-19 sebanyak RM146 bilion, yang menjejaskan simpanan sebahagian ahli.
Beliau berkata KWSP terus menggalakkan ahli merancang kewangan secara berhemah, mengekalkan simpanan lebih lama dalam akaun persaraan, bagi memastikan aliran pendapatan stabil selepas bersara dan mengurangkan risiko kehabisan simpanan.
Pendekatan ini diharap dapat menjamin kesejahteraan kewangan rakyat pada usia persaraan, sekali gus mengekalkan simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kos hidup dan perubatan yang semakin meningkat. - DagangNews.com








