KUALA LUMPUR 11 Julai – Golongan wanita di negara ini masih berdepan halangan untuk menyertai ekonomi negara akibat pelbagai faktor terutamanya bias algoritma dan ketidaksamaan struktural.
Itu kebimbangan utama yang dilontarkan para pemimpin di Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Wanita Dunia 2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Bekas penasihat khas kepada Menteri Kewangan, Nurul Izzah Anwar berkata, halangan sistemik seperti beban penjagaan tidak berbayar dan bias digital yang kian meningkat telah menyebabkan berjuta wanita Malaysia tersisih daripada tenaga kerja meskipun tahap pendidikan golongan itu semakin tinggi.
“Sehingga tahun 2022, kadar penyertaan tenaga kerja wanita masih kekal pada 55.8% jauh di bawah sasaran kerajaan sebanyak 60% dan ketinggalan berbanding kadar penyertaan lelaki iaitu 82%,” katanya.
Beliau menegaskan kekurangan wanita dalam pasaran kerja bukanlah kerana ketiadaan bakat atau cita-cita, sebaliknya disebabkan beban penjagaan yang tidak seimbang dan masih ditanggung oleh wanita secara tidak rasmi.
Merujuk Kajian Masa oleh Khazanah Research Institute pada 2018, Nurul Izzah berkata, wanita Malaysia menghabiskan lebih 60% masa tambahan untuk kerja penjagaan tidak berbayar berbanding lelaki.
"Secara global, wanita melakukan 76.4% daripada kerja sedemikian yang kebiasaannya tidak diiktiraf secara rasmi oleh mana-mana institusi.
“Reformasi perlu melangkaui kuota dan kita mesti menilai semula peranan penjagaan dalam ekonomi, tanggungjawab sosial dan bagaimana kejayaan perniagaan ditakrifkan bukan sekadar keuntungan, tetapi juga matlamat yang sebenar,” katanya.
Beliau turut memberi amaran mengenai bias jantina dalam sistem kecerdasan buatan (AI) yang kini digunakan dalam padanan pekerjaan, penilaian kredit dan pengecaman wajah.
“Sistem AI masa kini cenderung mengulangi bias sejarah jantina yang tertanam dalam data latihan.
"Kita memerlukan set data yang lebih pelbagai, audit bias yang dijalankan secara berkala, serta kerjasama rentas sektor bagi memastikan pembangunan teknologi yang lebih inklusif,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Kurikulum), Dr Rusmini Ku Ahmad berkata, Malaysia telah mencapai tahap akses pendidikan hampir menyeluruh bagi pelajar perempuan dengan kadar kemasukan wanita di universiti awam melebihi lelaki.
"Namun begitu pencapaian ini masih belum diterjemahkan kepada kesaksamaan ekonomi.
“Walaupun wanita mendahului dari segi pencapaian pendidikan, hanya 56.2% berada dalam tenaga kerja. Jika jurang ini dapat ditutup, pendapatan per kapita Malaysia boleh meningkat lebih 25%,” katanya.
Sebagai langkah penyelesaian, Kementerian Pendidikan kini menyokong dasar tempat kerja responsif jantina melalui kerjasama dengan sektor swasta.
Pada Mei lalu, Malaysia telah melancarkan makmal tindakan korporat berdasarkan Prinsip Pemerkasaan Wanita (Women’s Empowerment Principles) bagi menyediakan kerangka global kepada syarikat untuk membina persekitaran kerja yang inklusif.
Selain itu, penubuhan Pusat Pemerkasaan Ekonomi Wanita Asia di Kuala Lumpur akan memacu dasar-dasar mesra gender di peringkat serantau, termasuk memperluas akses kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana milik wanita.
Dr Rusmini turut menggesa semua pihak terlibat iaitu kerajaan, perniagaan, institusi pendidikan dan keluarga untuk mencabar norma lapuk dan membina ekosistem yang membolehkan wanita berkembang.
“Setiap pelaburan dalam pendidikan wanita adalah pelaburan terhadap daya saing ekonomi Malaysia.
“Kita bukan sahaja sedang membina pemimpin masa depan, tetapi juga ekonomi masa depan.” katanya. - DagangNews.com








