Hak 40 tahun dikembalikan: Terengganu capai matlamat tuntutan bayaran premium, cukai dan perkongsian keuntungan dari Felda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hak 40 tahun dikembalikan: Terengganu capai matlamat tuntutan bayaran premium, cukai dan perkongsian keuntungan dari Felda

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac – Selepas lebih 40 tahun kehilangan hak, kerajaan negeri Terengganu akhirnya berjaya memperoleh semula bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan apabila Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersetuju dengan tuntutan yang dikemukakan.

 

Namun, persetujuan yang dicapai dalam hasil rundingan baru-baru ini tidak mendedahkan jumlah sebenar yang bakal diterima oleh Terengganu berikutan terdapat terma kerahsiaan dalam perjanjian tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan  Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim.

 

 

 

 

 

 

Beliau berkata isu itu bermula apabila Felda membangunkan ladang komersial di atas tanah milik kerajaan negeri tanpa sebarang kebenaran sah, menyebabkan negeri kehilangan hasil premium tanah, cukai tanah, dan bayaran perkongsian keuntungan selama ini.

 

“Sejak 2018, Kerajaan Negeri berusaha untuk mendapatkan penyelesaian secara rundingan, tetapi Felda enggan memberi kerjasama. 

 

“Semua usaha untuk berbincang gagal, dan isu ini terus berlanjutan tanpa kesudahan. Dalam menghadapi situasi yang kritikal itu, kerajaan negeri terpaksa menggunakan kuasa undang-undang melalui Notis 425 Kanun Tanah Negara. 

 

“Notis ini dihantar bukan untuk merampas ladang atau aset Felda, tetapi sebagai langkah tegas untuk memastikan Felda mengiktiraf hak negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah Dr Azman, Notis 425 KTN memberi tempoh kepada Felda untuk membetulkan kesalahan, dan tindakan ini akhirnya memaksa Felda menunjukkan kesediaan untuk duduk semeja dan berbincang. 

 

“Pekerja ladang tidak dipecat, aset tidak disita, tetapi langkah tegas ini memaksa perubahan sikap pihak Felda.

 

“Jika tiada Notis 425 KTN, mustahil Felda akan bersedia berunding. Isu ini mungkin akan berlarutan tanpa kesudahan, membahayakan kepentingan rakyat dan hak negeri.

 

“Hasil daripada rundingan selepas notis dihantar, Felda diberikan pemilikan tanah ladang, tetapi Kerajaan Negeri tetap memperoleh tiga tuntutan utama iaitu hasil premium tanah, cukai tanah, dan bayaran perkongsian keuntungan. Ini menunjukkan kerajaan tidak berkompromi terhadap haknya,” tegasnya lagi.

 

Langkah ini juga membuktikan tindakan tegas kerajaan negeri adalah perlu untuk menegakkan keadilan kerana kerajaan negeri Terengganu dilihat tidak berdiam diri apabila hak rakyat dan hasil negeri dicabuli, walaupun melibatkan badan berkanun besar seperti Felda.

 

Beliau berkata isu ini bukanlah soal merampas ladang atau aset, tetapi untuk memastikan Felda menghormati hak negeri yang sah kerana rundingan dan kompromi hanya berlaku setelah Felda diingatkan melalui kuasa undang-undang yang ada pada kerajaan.

 

“Semua keputusan dibuat untuk kepentingan rakyat. Dengan memastikan Felda membayar apa yang sepatutnya, kerajaan menegakkan prinsip keadilan dan memastikan hasil tanah milik rakyat tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Baru-baru ini, Felda dan kerajaan Terengganu menandatangani perjanjian penyelesaian bagi menyelaraskan status pemilikan tanah ladang komersial di enam daerah di negeri tersebut iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.

 

Menurut Felda, langkah itu merupakan kesinambungan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak sejak 1969 di bawah Perjanjian Rancangan Pembangunan Tanah (Perjanjian Negeri Terengganu), berdasarkan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530). - DagangNews.com