KUALA LUMPUR 20 Mei — Pengeluar peralatan perindustrian dari China, Haitian Group memulakan pembinaan kemudahan hab pembuatan serantau mereka bernilai RM3 bilion terletak di Eco Business Park II (EBP II), Iskandar Malaysia, Johor.
EcoWorld Development Group Berhad berkata, tapak perindustrian yang berkeluasan 37.23 hektar di lokasi tersebut dibeli Haitian Machinery (Malaysia) Sdn Bhd pada 2022 daripada anak syarikat milik penuhnya, Eco Business Park 2 Sdn Bhd.
Katanya, ia merupakan projek pertama Haitian Group di Malaysia dan tapak tersebut juga menempatkan sebuah institut penyelidikan, asrama pekerja serta kemudahan lain dengan Fasa 1 dijangka siap pada akhir 2026 sebelum pengeluaran bermula pada 2027.
“Anggaran jumlah kos pelaburan kumpulan berkenaan yang akan mengembangkan lagi kemudahan lain dirancang untuk fasa-fasa berikutnya di tapak perindustrian tersebut adalah kira-kira RM3 bilion,” kata EcoWorld dalam satu kenyataan
Ia menambah, dalam tempoh lima tahun akan datang, kira-kira 400 pekerja dijangka bertugas di kemudahan itu, yang akan mengeluarkan mesin pengacuan suntikan canggih dan mesin kawalan berangka komputer untuk rantau Asia Tenggara.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, ia merupakan peristiwa penting serta kemuncak perancangan teliti Haitian Group bagi mewujudkan hab pembuatan bertaraf dunia di EBP II.
Syarikat tersebut katanya, berasa amat bertuah kerana telah dapat bekerjasama dengan pengeluar China itu selama bertahun-tahun untuk membantu merealisasikan visi mereka mengembangkan potensi perniagaan di rantau Asia Tenggara.
"Keputusan mereka menjalankan bukan sahaja pembuatan berteknologi tinggi tetapi penyelidikan termaju di sini pasti menyumbang ke arah pemindahan teknologi, menjana pekerjaan dan peluang perniagaan untuk rakyat kita," katanya. - DagangNews.com








