GUH terima pampasan RM119 juta sebagai pelupusan tanah perindustrian di China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GUH terima pampasan RM119 juta sebagai pelupusan tanah perindustrian di China

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Feb — GUH Holdings Berhad melupuskan pegangan tanah perindustriannya di Suzhou, China, kepada kerajaan negara tersebut, dengan harga 195 juta yuan (RM119.83 juta), sebagai sebahagian daripada program pembangunan semula bandar itu.

 

Menerusi makluman difailkan kepada Bursa Malaysia, pembuat papan litar elektronik itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, GUH Circuit Industry (Suzhou) Co Ltd telah memeterai perjanjian pampasan untuk pelupusan wajib tanah seluas 53,324.56 meter persegi.

 

Urus niaga pemindahan hartanah tersebut yang dianggarkan bernilai RM12.84 juta pada 31 Disember 2024 sudah pun dimuktamadkan antara GUH dengan pihak pentadbiran Zon Teknologi Tinggi Suzhou di Pejabat Pengurusan Daerah Inovasi Perniagaan Shishan.

 

GUH berkata bahawa kumpulan berkenaan dijangka memperoleh keuntungan pro forma sebanyak RM95.31 juta hasil daripada langkah pelupusan itu. Jumlah pampasan tersebut ujarnya, dijangka dapat diselesaikan penuh dalam empat peringkat.

 

"Pihak lembaga pengarah GUH percaya bahawa jumlah pampasan yang diterima itu adalah munasabah dan seterusnya berminat untuk proses penyelesaian pelupusan hartanah berkenaan dengan segera," katanya.
 

Tanah perindustrian di Suzhou itu terdiri daripada tiga bangunan kilang industri dan lima bangunan tambahan. Ia mengendalikan pejabat dan kilang untuk pengeluaran papan litar bercetak.

 

Bagaimanapun operasi di kawasan perindustrian tersebut sudah dihentikan pada Disember 2021, selepas kerajaan China mendedahkan rancangannya untuk proses perbandaran semula keseluruhan lokasi berkenaan.

 

Cadangan pelupusan itu namun masih lagi perlu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa syarikat tersebut yang akan diadakan kemudian.

 

GUH menjangkakan pelupusan yang dicadangkan akan dapat diselesaikan pada suku pertama 2026, kecuali sebarang keadaan tidak dijangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang diperlukan telah diterima.

 

Saham GUH semalam ditutup pada akhir dagangan Bursa Malaysia sebagai tidak berubah kepada 37.5 sen, dengan nilai kumpulan itu adalah RM105.8 juta. - DagangNews.com