KUALA LUMPUR 3 Okt – Kerajaan Malaysia kini meletakkan Government Technology (GovTech) sebagai teras utama dalam transformasi ekonomi negara, dengan tumpuan terhadap penyampaian perkhidmatan awam yang lebih pantas, telus dan diyakini rakyat sejajar dengan aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mengangkat pendigitalan sebagai alat serta pemangkin pertumbuhan, produktiviti dan kemajuan sosial negara.
“Akhirnya, GovTech bukan sekadar teknologi – ia tentang kredibiliti, kebertanggungjawaban dan daya tahan. Ia akan menjadi pemacu produktiviti, tunjang kepercayaan rakyat dan asas kepada perjalanan Malaysia ke arah pertumbuhan mapan dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia bertajuk ‘From Bytes to Benefits: Digital Transformation as a Catalyst for Public Sector Productivity’.
Digital Jadi Pemacu Reformasi & Penyampaian Perkhidmatan Awam
Menurut Amir Hamzah, di bawah RMK13 dan berpaksikan kerangka Ekonomi Madani, pendigitalan akan menyokong usaha merombak struktur ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
RMK13 juga menetapkan strategi menyeluruh untuk memperkasa kecerdasan buatan (AI), memperkukuh GovTech, serta membina sistem digital berkonsep secure-by-design yang cekap, telus dan berpusatkan rakyat.
“Kerajaan jelas dengan hala tuju ini iaitu memastikan tiada rakyat Malaysia tercicir dalam perjalanan digital ini,” tegas beliau yang juga Menteri Kewangan II.
Pertumbuhan Masa Depan Perlu Didorong Inovasi & Nilai Tambah
Amir Hamzah turut menekankan pertumbuhan ekonomi masa depan perlu berpindah daripada pengeluaran asas kepada penciptaan nilai tambah yang lebih tinggi, didorong oleh inovasi merentasi semua sektor.
“Kita perlu membina budaya berinovasi, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa pengguna, dan mengeluarkan produk buatan tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Bank Dunia: Malaysia Pelopor GovTech di ASEAN
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bank Dunia bagi Filipina, Malaysia dan Brunei, Zafer Mustafaoglu, memuji Malaysia sebagai contoh terbaik di rantau ini dalam memperkasa GovTech sebagai pemacu produktiviti serta membina kepercayaan antara rakyat dan kerajaan.
Menurut beliau, pelaburan besar dalam infrastruktur digital seperti MyGovCloud, MyDigital ID, serta pewujudan Kementerian Digital dan Jabatan Digital Negara merupakan asas kukuh untuk melonjakkan transformasi digital sektor awam.
Malaysia juga mengatasi pencapaian negara-negara OECD dan ASEAN dalam beberapa komponen Indeks Kematangan GovTech Bank Dunia termasuk penggunaan teknologi terobosan dan platform berasaskan awan (cloud).
Bagaimanapun, Zafer mengingatkan pelaburan digital semata-mata tidak mencukupi. Teknologi perlu digandingkan dengan pelengkap ‘analog’ yang kuat seperti institusi yang berdaya tahan, tadbir urus data yang telus serta penjawat awam yang celik digital.
Laporan Bank Dunia turut menyarankan empat bidang reformasi Utama pembinaan platform digital yang kukuh, penguatkuasaan dasar dan akauntabiliti, pembangunan tenaga kerja yang celik digital dan penyampaian perkhidmatan yang berorientasikan pengguna.
“Melalui strategi ini, Malaysia bukan sahaja boleh menjadikan GovTech sebagai alat kecekapan, malah pemangkin pertumbuhan mampan dan kemakmuran bersama. Momentumnya sudah ada – kini tiba masa untuk merealisasikan dividen digital untuk semua rakyat,” ujar beliau. - DagangNews.com








