KUALA LUMPUR 2 Sept – Gergasi e-dagang dan logistik China, JD.com menyatakan hasrat untuk meluaskan operasi perniagaannya ke Malaysia, dengan memberi tumpuan khusus kepada sektor logistik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengalu-alukan minat tersebut, memandangkan kedudukan strategik Malaysia yang berpotensi muncul sebagai hab logistik serantau, sekali gus mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Saya menyambut baik hasrat ini kerana Malaysia mempunyai potensi besar sebagai pusat logistik serantau, yang boleh membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Meta hari ini.
Terdahulu Anwar yang dalam lawatan kerja rasmi empat hari ke China telah mengadakan pertemuan dengan kalangan pemimpin industri terkemuka negara itu dalam usaha melonjakkan pelaburan selain meneroka peluang serta kerjasama baharu.
Selain pengurusan tertinggi JD.com yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif JD Logistics merangkap Ahli Eksekutif Strategi, Hu Wei, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan barisan pimpinan Persatuan Industri Semikonduktor China (CSIA) diketuai oleh Pengerusi Chen Nanxiang yang juga Pengerusi Yangtze Memory Technologies.
JD.com yang tersenarai dalam NASDAQ 100 dan syarikat Fortune Global 500, adalah peruncit e-dagang terbesar di China yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 580 juta orang yang membeli-belah di serata China.
Syarikat dipacu teknologi itu mengendalikan infrastruktur penunaian pesanan terbesar di China yang membolehkan 90 peratus pesanan dihantar pada hari sama atau berikutnya.
Sementara itu CSIA adalah sebuah badan induk yang melibatkan syarikat, pakar dan institusi dalam bidang pembuatan, reka bentuk dan pembangunan berkaitan dengan industri semikonduktor.
Turut hadir dalam mesyuarat perniagaan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar berkata, dalam pertemuan itu beliau menegaskan iltizam Malaysia untuk menjadi pemain utama semikonduktor global, seperti yang digariskan dalam Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
"Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Kerajaan MADANI akan terus menarik pelaburan berkualiti, meneroka peluang baharu dan membangunkan sektor strategik demi kemakmuran rakyat dan masa depan Malaysia yang lebih gemilang," katanya. - DagangNews.com








