Genting Malaysia jual aset RM2.2 bilion di AS, kumpul dana beli tanah dan bayar bon | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Genting Malaysia jual aset RM2.2 bilion di AS, kumpul dana beli tanah dan bayar bon

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Genting Malaysia Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Empire Resorts Inc, akan menjual aset bukan perjudian di New York Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$525 juta (RM2.2 bilion) bagi membiayai pembelian tanah seluas 629.2 hektar serta membayar bon yang matang pada 2026.

 

Genting Malaysia dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia berkata, aset bukan perjudian itu akan dijual kepada Sullivan County Resort Facilities Local Development Corporation (SCRFLDC).

 

Aset tersebut merangkumi hotel Resorts World Catskills (RWC) dengan 332 bilik, hotel Alder dengan 99 bilik, padang golf 18  lubang Monster Golf Course, dewan acara RWC Epicenter yang mempunyai 2,500 tempat duduk serta beberapa buah restoran.

 

Hasil daripada pelupusan ini akan digunakan untuk membeli tanah seluas 629.2 hektar daripada EPR Properties pada harga AS$201.3 juta (RM848.1 juta), menebus bon tidak bercagar bernilai AS$300 juta (RM1.3 bilion) pada kadar 7.75 peratus yang matang pada November 2026, serta membiayai keperluan modal kerja.

 

Sebagai sebahagian daripada cadangan itu, Empire akan menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan SCRFLDC sehingga 15 Februari 2066 bagi semua tanah di bawah aset bukan perjudian tersebut, selain perjanjian pengurusan selama 20 tahun dengan pembaharuan automatik untuk menguruskan aset berkenaan.

 

“Hasil daripada pelupusan ini membolehkan Empire menebus sepenuhnya Bon Empire, sekali gus menjadikan Empire bebas hutang. Ini membolehkan Empire terus memberi fokus kepada penambahbaikan prestasi operasi dan merealisasikan potensi sepenuhnya,” kata syarikat itu.

 

Tambahnya, pengambilalihan lot tanah tersebut akan memberi Empire kawalan jangka panjang terhadap 170 hektar tanah yang menempatkan kemudahan permainan dan bukan permainan RWC, di samping 459 hektar tanah kosong yang mempunyai potensi pembangunan.

 

Cadangan pelupusan ini dijangka menjana lebihan tunai kira-kira AS$10 juta (RM42.1 juta) bagi modal kerja am Empire.

 

Genting Malaysia berkata langkah ini mengukuhkan komitmennya untuk meningkatkan kedudukan daya saing dalam pasaran New York dan wilayah timur laut Amerika Syarikat secara keseluruhan. - DagangNews.com