Gangguan operasi loji arang batu Tanjung Bin kekal isu kritikal kepada Malakoff — RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gangguan operasi loji arang batu Tanjung Bin kekal isu kritikal kepada Malakoff — RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mac – Masalah gangguan operasi loji jana kuasa arang batu di Pontian, Johor terus dipantau pelabur terhadap prestasi Malakoff Corporation Berhad, walaupun fasiliti utama kembali pulih.


Menurut RHB Research, perkara tersebut sebelum ini pernah menjejaskan bekalan bahan api dan kapasiti penjanaan premis itu sehingga menjadi isu kritikal yang diteliti rapi oleh kumpulan berkenaan sendiri.


Tambah firma itu, jeti arang batu di kompleks Tanjung Bin Power Plant sudah beroperasi sejurus kerja pembersihan selesai, dan membolehkan bekalan arang batu disambung semula mulai 8 Mac 2026.


"Malakoff kini dalam proses membina semula stok arang batu bagi memenuhi keperluan sekitar 822,000 tan bahan api untuk loji Tanjung Bin Energy Plant dan Tanjung Bin Power," katanya dalam analisis hari ini.


Semasa tempoh gangguan operasi jeti jelas RHB Research, pihak pengurusan berjaya mendapatkan stok alternatif melalui pengangkutan lori bagi memastikan operasi kedua-dua loji itu dapat diteruskan.


Bagaimanapun tambah firma itu, operasi di Tanjung Bin Power masih terjejas susulan kerosakan rotor turbin stim yang sudah dihantar ke Jerman untuk dibaiki dan dijangka pulih menjelang suku kedua 2026.


Sehubungan itu, ia mengambil kira penurunan bayaran kapasiti bagi loji tersebut selama tiga bulan ekoran kadar gangguan yang tidak dirancang melebihi 6%, dengan penetapan semula dijadualkan pada 2027.


"Kami namun melihat potensi usaha Malakoff memajukan dua loji jana kuasa gas baharu yang berkapasiti 1.4 gigawatt (GW) di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Segari, Perak" kata RHB Research.
 

Tanjung Bin Malakoff


Syarikat itu sudah menempah empat turbin gas sebagai sebahagian daripada perancangan bagi projek tersebut, selari dengan keperluan kerajaan membina 5 hingga 6 GW loji gas baharu menjelang 2030.


Kumpulan itu turut mempertimbangkan penyertaan dalam tender 'NewGen2026' yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi pembinaan loji baharu dijangka beroperasi antara 2029 hingga 2031.


Tender jana kuasa gas tersebut tambah RHB Research, dijadualkan ditutup untuk bidaan pada Julai 2026, dengan keputusan para pemenang hanya dijangka diumumkan oleh ST menjelang akhir tahun ini.


"Jika Malakoff berjaya memenangi projek loji berkapasiti 1.4 GW, ia berpotensi meningkatkan penilaian saham syarikat sehingga 43% lebih tinggi daripada harga sasaran semasa," kata firma itu.


Loji gas baharu itu juga jelas firma tersebut, dilihat penting sebagai pengganti kepada loji arang batu Tanjung Bin Power berkapasiti 2.1 GW yang dijangka ditamatkan operasinya pada 2031.


Dari segi penilaian, RHB Research menurunkan sedikit unjuran pendapatan sesaham FY26 sebanyak 3% bagi mengambil kira sumbangan lebih rendah daripada Tanjung Bin Power akibat gangguan turbin.


Firma itu namun mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 90 sen sesaham, berbanding 93 sen sebelum ini, bersandarkan 20 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY26.


"Kami bagaimanapun menegaskan bahawa gangguan operasi tidak dijangka di loji jana kuasa kekal sebagai risiko utama kepada prestasi Malakoff pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com