Gamuda raih kontrak RM1.72 bilion bina pusat data hiperskala di Port Dickson | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda raih kontrak RM1.72 bilion bina pusat data hiperskala di Port Dickson

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 April - Gamuda Bhd menerusi anak syarikatnya, Gamuda Engineering Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM1.72 bilion bagi pembinaan pusat data hiperskala di Port Dickson untuk sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan kemudahan setingkat yang merangkumi kerja infrastruktur tapak, pembinaan teras dan struktur, serta pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

 

Menurut Gamuda, kerja pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2026 dan dijadualkan siap menjelang suku pertama 2028.

 

“Projek ini tertakluk kepada risiko pembinaan biasa termasuk turun naik harga bahan, namun kumpulan akan menguruskan risiko tersebut dengan berkesan melalui pengalaman dan kepakaran dalam pelaksanaan projek,” katanya.

 

Kumpulan itu menjangkakan kontrak tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026.

 

Sementara itu, saham Gamuda susut tiga sen atau 0.7% kepada RM4.28 pada sesi dagangan tengah hari, menjadikan nilai pasaran syarikat sekitar RM25.49 bilion. - DagangNews.com