KUALA LUMPUR 6 Nov – Gamuda Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) bagi meneroka kerjasama jangka masa panjang dalam pembekalan dan penjualan lebihan air terawat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata, perjanjian awal itu menetapkan bahawa semua pihak akan berusaha mencapai perjanjian rasmi dalam tempoh enam bulan akan datang.
“Sekiranya perjanjian rasmi tercapai, bekalan air dijangka mula disalurkan ke Pulau Pinang pada suku pertama 2031.
“Tempoh bekalan yang dicadangkan adalah selama 40 tahun, tertakluk kepada kelulusan pohak berkuasa berkaitan serta syarat undang-undang yang akan ditetapkan.
“Langkah ini adalah penyelesaian jangka panjang bagi memenuhi keperluan air Pulau Pinang,” kata Gamuda.
MoU itu adalah sususlan pelantikan usaha sama pada Julai lalu antara Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak untuk pembangunan dan operasi infrastruktur rawatan serta pengagihan air di Kerian, termasuk bekalan ke Taman Perindustrian Hijau Kerian.
Projek ini merupakan sebahagian daripada Skim Bekalan Air Utara Perak bernilai RM5 bilion, yang direka untuk menangani kekurangan air jangka panjang bagi kegunaan pengairan, domestik dan industri di kawasan utara negeri itu.
Gamuda berkata, MoU itu adalah antara usaha strategik untuk memperkukuh kerjasama antara negeri Perak dan Pulau Pinang dalam memastikan pengurusan sumber air yang lebih efisien dan mampan.
Sementara itu, PBAPP berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk memastikan bekalan air yang lestari dan pelbagai, selaras dengan mandat syarikat bagi memenuhi permintaan domestik, industri dan komersial di Pulau Pinang.
“Projek ini juga menyokong pembangunan ekonomi negeri dan meningkatkan ketahanan terhadap kemungkinan kekurangan air pada masa depan,” katanya. - DagangNews.com








