KUALA LUMPUR 9 Mac - Gamuda kekal menjadi pilihan penganalisis walaupun mencatatkan pertumbuhan pendapatan suku tahunan agak perlahan.
CGS International (CGSI) berkata, keuntungan bersih teras Gamuda meningkat 7% tahun ke tahun (yoy) kepada RM235 juta pada 2QFY7/26, menjadikan keuntungan bersih teras 1HFY26 sebanyak RM448 juta.
Katanya, keputusan ini berada di bawah jangkaan, hanya 36% daripada FY26F firma itu dan 38% daripada konsensus Bloomberg kerana pengiktirafan projek pembinaan masih rendah.
"Pengajaran utama dari taklimat keputusan baru-baru ini ialah keyakinan tinggi pengurusan untuk berpotensi melebihi sasaran tempahan CY26F sebanyak RM50 bilion.
"Mereka juga percaya kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) hasil 3 tahun sebanyak 30% (FY25-28F) berbanding anggaran kami 20% dijangka mencapai RM35 bilion pada FY28," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut CGSI, Gamuda menegaskan pertumbuhan perlahan itu bukan masalah pelaksanaan tetapi isu masa, di mana 90% daripada tempahan RM44 bilion (setakat Jan 26) berada pada progres semula jadi ‘S curve’, iaitu berjalan mengikut perancangan.
Projek-projek yang sedang berjalan termasuk loji rawatan air Sabah, sistem LRT Pulau Pinang, pemindahan air antara negeri dari Perak ke Pulau Pinang, pusat data (DC), dan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di dalam dan luar negara (Australia).
Gamuda juga optimis terhadap aliran DC, di mana mereka percaya hyperscaler kini berada pada peringkat kedua pelaksanaan yang lebih agresif.
Tambahan pula, 4 Projek Penyelesaian Pantas Vietnam (QTP) telah ditambah pada 1QCY26 (GDV: RM4.1 bilion). Dari Mac 26 – Mac 27, syarikat mensasarkan pelancaran projek bernilai RM10 bilion termasuk di Malaysia dan Singapura yang menyokong sasaran lebih luas mereka.
Oleh itu CGSI mengekalkan saranan TAMBAH kerana kepelbagaian tempahan dan saluran kontrak yang jelas dan harga sasaran baru diturunkan kepada RM6.00, berdasarkan nisbah 0.8x modal pasaran/tempahan (sebelum ini 1.0x), dengan anggapan tempahan mampan sebanyak RM45 bilion.
Nisbah lebih rendah ini mengambil kira purata 2026-20 ketika tempahan sedang dibina dan projek masih berada di bahagian awal ‘S curve’.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan unjuran pendapatan Gamuda berdasarkan jualan hartanah FY26E/FY27E/FY28E sebanyak MYR4.5 bilion/MYR13.2 bilion/MYR8.5 bilion, termasuk projek Chencharu Close bernilai MYR6.8 bilion.
"Dengan keputusan separuh pertama yang stabil dan strategi projek hartanah agresif, Gamuda dijangka terus menunjukkan prestasi kukuh bagi baki FY26," katanya firma itu yang mengekalkan saranan BELI dengan sasaran harga berasaskan sum-of-the-parts (SOTP) MYR5.30.
MBSB Research turut mengekalkan saranan BELI ke atas Gamuda dengan TP berasaskan SOTP tidak berubah pada RM5.86.
"Gamuda kekal sebagai pilihan utama kami dalam sektor pembinaan, disokong oleh buku tempahan kukuh bernilai RM44.0 bilion dan portfolio yang terpelbagaikan dari segi geografi untuk kedua-dua sektor pembinaan dan hartanah," katanya.
Menurut MBSB, Gamuda juga sedang memperluas kehadirannya dengan pesat dalam sektor utiliti, memanfaatkan kepakaran dalam pembinaan serta kekuatan kewangan untuk memiliki aset sendiri sebagai usaha membina semula aliran pendapatan berulang, sesuatu yang dinikmati sebelum syarikat keluar daripada perniagaan konsesi tol pada 2022.
"Beberapa keputusan tender dijangka diumumkan sepanjang 2026 dari Australia, Taiwan, dan Malaysia, merangkumi projek infrastruktur, pusat data, dan tenaga boleh diperbaharui. Sasaran buku pesanan seterusnya adalah RM50 bilion menjelang akhir 2026," katanya. - DagangNews.com








