KUALA LUMPUR 13 Mac — Gamuda Berhad yang akan menerbitkan keputusan kewangannya akhir bulan ini, dijangka melaporkan suku kedua yang sederhana untuk tahun kewangan yang berakhir Julai 2025 (2Q25), kata CGS International (CGSI) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia susulan pemulihan margin yang akan menjadi lebih ketara dalam tahun kewangan 2026 (FY26) walaupun masih lagi dalam peringkat awal dari segi pengiktirafan hasil pendapatannya.
Sebanyak 41 peratus daripada buku tempahan bernilai RM37 bilion setakat Februari 2025 terdiri daripada projek tempatan margin lebih tinggi, seperti pusat data, empangan hidro Padas Atas di Sabah, dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.
Selain itu, kemajuan pembinaan pembangunan kediaman mewah Eaton Park yang bermargin lebih tinggi di Vietnam belum pun lagi mencapai ambang untuk pengiktirafan yang bermakna.
"Projek tersebut melaporkan sebanyak RM970 juta dalam prajualan untuk FY24, yang bersamaan dengan 20 peratus daripada jumlah prajualan FY24," kata CGSI Research dalam nota kajiannya.
Justeru, firma penyelidikan itu juga melihat kemajuan kerja untuk projek tempatan yang meningkat pada separuh kedua FY25, dan memberikan wajaran kepada pemulihan margin yang lebih baik pada FY26.
CGSI Research menambah bahawa margin pembinaan 1Q25 kumpulan syarikat berkenaan adalah sederhana pada 5.4 peratus, tetapi margin pembinaan tempatan pula melebihi 10 peratus.
Gamuda telah bertindak memodelkan semula margin berkenaan kepada 8 peratus untuk FY26 daripada hanya 6 peratus pada FY24.
Firma penyelidikan itu berkata, pada pandangannya, Gamuda juga akan berusaha untuk membina kejayaan hartanahnya di Vietnam, dengan 19 peratus daripada jumlah nilai pembangunan kasar RM61 bilion setakat Oktober lalu.
"Ini memandangkan faktor permintaan asas yang kukuh di negara berkenaan dengan margin hartanah adalah kira-kira 15 peratus," katanya.
Bagaimanapun CGSI Research mengurangkan ramalan pendapatan sesaham daripada FY25 kepada FY27 untuk Gamuda dengan mengambil kira pengiktirafan yang disemak menerusi pelbagai projek tempatan kumpulan itu.
Ia menurunkan harga sasarannya kepada RM6 sesaham dengan mengandaikan nisbah harga-pendapatan yang lebih rendah sebanyak 20 kali ganda untuk segmen pembinaan Gamuda di bahagian konservatif dalam rantaian pusat data jangka panjang kumpulan itu.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut mengulangi saranan "tambah" di kaunter, dan mengutamakan Gamuda untuk buku pesanan yang pelbagai dengan perniagaan hartanah yang semakin berkembang.
Risiko kelemahan utama bagi kumpulan termasuk kelewatan dalam penganugerahan kontrak dan kos bahan mentah yang lebih tinggi, manakala pemangkin penarafan semula utama ialah lebih banyak kemenangan kerja pembinaan dan jualan hartanah yang lebih kukuh.
CGSI Research berkata, ia percaya Gamuda boleh mencapai sasaran yang lebih tinggi daripada sasaran buku pesanan RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025 memandangkan kejayaan baharu tahun ini sahaja sudah sebanyak RM13.4 bilion.
Ini akan membayangkan bahawa ia memerlukan tambahan RM20 bilion dalam kemenangan baharu menjelang akhir tahun ini dengan mengandaikan kadar hangus RM1 bilion sebulan.
Potensi kemenangan dalam jangka terdekat termasuklah loji rawatan air di Sabah, bernilai kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion, dan lebih banyak pekerjaan untuk pusat data.
“Selain itu, kami melihat jelas kira-kira RM30 bilion untuk 18 bulan akan datang daripada kerja sistem Gelung Rel Suburban di Australia bernilai RM10 bilion, dan penglibatan kontraktor awal untuk dua projek pam-hidro di Australia kira-kira RM9 bilion dan projek MRT Taiwan pula RM10 bilion,” kata CGSI Research. - DagangNews.com








