Gaji minimum pekerja tempatan bermula RM3,500 ditawarkan pelabur asing JS-SEZ, kata MB Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gaji minimum pekerja tempatan bermula RM3,500 ditawarkan pelabur asing JS-SEZ, kata MB Johor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Mei — Pelabur asing di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menawarkan gaji minimum bermula RM3,500 kepada pekerja tempatan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. 


Beliau berkata, persetujuan berhubung kadar permulaan tersebut dicapai susulan perbincangan yang dilaksanakan Pusat Pemudah Cara Pelaburan Malaysia cawangan Johor dan Majlis Pembangunan Bakat Johor.


Katanya, antara perkara utama yang dibincangkan ialah keperluan penetapan gaji minimum RM3,500 dan ke atas bagi pemegang diploma, manakala pemegang ijazah pula perlu ditawarkan paling kurang RM4,000.


"Alhamdulillah, sukacita saya melaporkan, majoriti pelabur yang memilih Johor telah bersetuju dengan cadangan ini," katanya ketika sesi persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, hari ini.


Beliau menjawab soalan Datuk Zulkarnain Kamisan (Barisan Nasional-Sri Medan), yang ingin tahu keperluan kerajaan negeri untuk pelabur asing berhubung isu pengambilan pekerja tempatan dan penetapan tahap gaji setanding Singapura.


Bagaimanapun, Onn Hafiz, yang juga ADUN Machap berkata, pelabur juga telah menetapkan dua syarat utama iaitu produktiviti tenaga kerja dan kemahiran teknikal mestilah sejajar dengan gaji yang ditawarkan mereka.

 

 


Mengenai pengambilan pekerja, beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di peringkat persekutuan menetapkan komposisi tenaga kerja dalam sektor pembuatan mesti terdiri 80 peratus pekerja tempatan.


Sementara itu, beliau berkongsi pertemuan pada Isnin dengan wakil sebuah syarikat China yang melabur RM500 juta di Johor ketika fasa pertamanya dan dijangka mencecah RM3 bilion dalam beberapa fasa berikutnya.


“Pelabur in telah menyatakan komitmen yang kuat untuk mengambil tenaga mahir tempatan, serta bersetuju menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia,” katanya.


Ini katanya, sebahagian usaha berterusan kerajaan Johor bagi memastikan pembangunan ekonomi secara langsung memberi manfaat kepada rakyat, terutama peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat tempatan. - DagangNews.com