KUALA LUMPUR 24 Mac - Pengeluar bateri automotif, ABM Fujiya Bhd (AFujiya) menerusi anak syarikatnya, Fuya Energy Sdn Bhd, kini mula mengeluarkan Bateri Asid Plumbum Canggih (EFB).
Pengeluaran bateri EFB itu dilakukan di kilang pembuatan bateri baharunya di Taman Perindustrian Demak Laut, Kuching.
Menurut AFujiya, keputusan untuk memulakan pengeluaran bateri EFB tersebut seiring dengan perubahan trend pasaran dan penerimaan kenderaan elektrik (EV) serta untuk membolehkan kumpulan kekal kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Bateri EFB adalah pembangunan lanjut daripada bateri asid plumbum konvensional.
Ia adalah sejenis bateri asid plumbum yang direka khas untuk kenderaan dengan sistem start-stop yang canggih, pemulihan tenaga dan ciri-ciri elektrik berkuasa tinggi yang lain.
Teknologi EFB meningkatkan prestasi dan jangka hayat bateri dengan memasukkan ciri-ciri reka bentuk yang meningkatkan penerimaan cas, ketahanan kitaran dan ketahanan terhadap pelepasan dalam.
Fuya Energy merupakan syarikat usaha sama 60:40 antara Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak) Sdn Bhd (ABM) dan pengeluar bateri China, Jujiang Power Technology Co Ltd (JJ).
ABM adalah anak syarikat milik penuh AFujiya. JJ terlibat dalam penyelidikan, pembangunan, pembuatan dan penjualan bateri starter asid plumbum untuk kenderaan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, JJ mengembangkan pengeluarannya merangkumi bateri litium.
JJ terlibat dalam pembinaan dan penyediaan kilang bateri baharu Fuya Energy dan menyediakan pembiayaan sejumlah RM56.38 juta (2019 hingga 2022) kepada Fuya Energy untuk pembinaan kilang dan pembelian mesin.
Pada Disember 2024, JJ melengkapkan langganan 48 juta saham baharu Fuya Energy pada harga RM1 setiap satu untuk RM48 juta, mewakili pegangan 40% dalam Fuya Energy.
Melalui langganan saham tersebut, Fuya Energy berjaya mengimbangi kira-kira 85% daripada pendahuluan tunai yang diterima daripada JJ.
Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFujiya, Datuk Seri Tay Chin Kin, kerjasama Fuya Energy-JJ juga memberi manfaat kepada kumpulan kerana ia membolehkan JJ memberikan input dan maklum balas yang bernilai mengenai operasi kilang bateri baharu dan penambahbaikan teknikal.
"Penglibatan ini tidak hanya akan meningkatkan kecekapan operasi Fuya Energy, tetapi juga mengukuhkan rancangan pengembangan syarikat, yang akan menyumbang kepada keuntungan masa depan kumpulan Afujiya.
"Memandangkan Fuya Energy kini bekerjasama dengan Universiti i-Cats untuk meneroka peluang pengeluaran bateri litium mesra alam, JJ dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan teknologi pengeluaran bateri litium dengan universiti tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kilang bateri baharunya berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan permulaan operasi komersial pada barisan pengeluaran keempat.
Menurut Fuya Energy, syarikat bakal mengembangkan operasi dengan barisan pengeluaran kelima.
Sementara itu dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24), AFujiya berjaya mengurangkan kerugian bersih kepada RM12.7 juta berbanding RM15.2 juta pada tahun sebelumnya, dengan pendapatan yang lebih tinggi iaitu RM180.5 juta berbanding RM127.5 juta. - DagangNews.com








