FSBM lancar pakej permulaan kilang pintar MES Lite RM28,888 untuk PKS lonjak daya saing digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FSBM lancar pakej permulaan kilang pintar MES Lite RM28,888 untuk PKS lonjak daya saing digital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei — FSBM Holdings Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya FSBM MES Elite Sdn Bhd melancarkan pakej permulaan kilang pintar, MES Lite, bernilai RM28,888 yang direka khas untuk mempercepatkan proses transformasi digital bagi pengeluar tempatan.


Pengarah Urusannya, Pang Kiew Kun berkata, inisiatif unik ini daripada nilai sebenar RM120,000, bakal memperkasakan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima amalan pembuatan digital secara pantas serta meningkatkan daya saing dalam pasaran global.


Ia juga selaras dengan inisiatif kerajaan untuk mengubah sektor pembuatan Malaysia melalui pendigitalan, dan rumusan MES Lite akan membantu usahawan memanfaatkan proses dipacu kecerdasan buatan (AI) untuk mempercepatkan pelaksanaan digital peringkat permulaan dengan ketara.


"Tawaran inovatif FSBM ini termasuk rumusan Sistem Pelaksanaan Pembuatan (MES) versi terkini yang direka untuk menyelaraskan aspek pengeluaran, selain meningkatkan kawalan kualiti dan mengoptimumkan kecekapan operasi syarikat terbabit," kata beliau dalam satu kenyataan.


Pakej ini tambahnya, menampilkan perkhidmatan pendigitalan secara komprehensif, memastikan peralihan lancar dan gangguan minimum kepada operasi yang secara langsung menangani masalah produktiviti, data tidak tepat dan operasi kurang cekap biasa dialami pengeluar tradisional.


Kiew Kun berkata, pakej permulaan kilang pintar FSBM lebih daripada sekadar tawaran menarik kerana ia juga adalah komitmen kumpulan tersebut untuk membantu pengeluar Malaysia supaya kekal relevan dan mampu berdaya saing dalam era sengit Revolusi Industri 4.0 pada ketika ini.


"Dengan akses berpatutan kepada rumusan digital termaju, kami membolehkan PKS meningkatkan produktiviti dan keuntungan kerana MES Lite sudah menunjukkan kejayaan luar biasa dalam pelbagai sektor perindustrian serta meningkatkan prestasi operasi pelanggan," katanya.


Selain itu tambah beliau, pendigitalan aliran kerja dan proses pengurusan gudang melalui pakej berkenaan telah terbukti berjaya dalam mengurangkan kesilapan manusia dengan ketara serta melonjakkan jaminan kualiti keseluruhan dan memberikan kelebihan daya saing segera.


Pakej tersebut katanya, tiada sebarang kos pendahuluan yang ketara atau tempoh pelaksanaan berpanjangan kerana FSBM percaya masa depan pembuatan Malaysia bergantung pada seberapa pantas syarikat boleh menyepadukan teknologi digital ke dalam barisan pengeluaran mereka.


Perniagaan yang telah melaksanakan sistem MES Elite tambah Kiew Kun, dilaporkan sudah berjaya mengalami peningkatan sebanyak 30 peratus dalam aspek kecekapan pengeluaran dan turut terbukti dapat mengurangkan masa henti peralatan disebabkan isu teknikal kira-kira 25 peratus.


“Misi kami menerusi pakej pengenalan ini adalah untuk menjadikan teknologi pembuatan termaju boleh diakses oleh semua pengeluar tempatan, tanpa mengira saiz, terutama PKS dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab pembuatan pintar di rantau Asia Tenggara,” kata beliau. - DagangNews.com