KUALA LUMPUR 27 April – FSBM Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih RM13.63 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan bersih RM1.01 juta dilaporkan pada FY24.
Prestasi hambar itu disebabkan oleh faktor margin lebih rendah daripada projek sedia ada, peningkatan perbelanjaan operasi semasa, serta kemerosotan nilai aset tidak ketara dan peruntukan hutang ragu.
Syarikat penyedia rumusan teknologi maklumat (IT) itu turut melaporkan penurunan perolehannya sebanyak 29.2% kepada RM12.16 juta, berbanding kira-kira RM17.18 juta pada tahun kewangan 2024.
Keadaan ini berpunca daripada serahan projek yang lebih rendah serta pelaksanaan projek semakin perlahan sepanjang tahun, selain persekitaran perbelanjaan oleh pelanggan didapati terus berhati-hati.
Timbalan Pengerusi Eksekutif FSBM, Cheong Chen Khan berkata, persekitaran operasi bagi FY25 disebabkan oleh ketidakpastian yang meningkat dan kitaran penukaran projek yang lebih perlahan.
"Walaupun pengukuhan pangkalan modal dan operasi ini menjejaskan keuntungan jangka pendek, ia bertujuan untuk meletakkan kumpulan pada kedudukan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, langkah dilaksanakan pada tahun itu sebahagian daripada fasa penyatuan selepas berjaya keluar daripada status nota amalan 17 (PN17).
FSBM jelasnya, kini memberikan tumpuan kepada tiga tonggak perniagaan teras iaitu aplikasi pintar dan rumusan digital, rumusan pembuatan pintar, serta perkhidmatan keselamatan secara terurus.
Jelasnya, bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, syarikat itu mencadangkan pelaksanaan penempatan persendirian sehingga 10% daripada jumlah saham diterbitkan, yang dapat meningkatkan modal kerja.
Usaha itu tambahnya, dijangka menyokong inisiatif pertumbuhan masa hadapan, dan FSBM dijadualkan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-41 pada 26 Jun 2026. - DagangNews.com








