PETALING JAYA 14 April - Sekumpulan individu yang hidup dengan demensia mencipta sejarah tersendiri apabila mengendalikan sebuah kafe komuniti di Megah Rise Mall, sekali gus mencabar persepsi masyarakat terhadap penyakit tersebut.
Inisiatif dikenali sebagai Forget-Me-Not Memory Café itu menghimpunkan profesional kesihatan, pelajar dan orang awam dalam usaha memupuk keyakinan, maruah serta keterangkuman sosial bagi penghidap demensia.
Kafe berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) dengan kerjasama pelajar dari Monash University Malaysia, yang memberi peluang kepada penghidap demensia untuk berinteraksi secara langsung dengan orang ramai dalam suasana operasi sebenar.

Selepas dua bulan persiapan, seramai 14 individu yang hidup dengan demensia terlibat secara aktif dalam menjayakan kafe tersebut dengan sokongan sukarelawan terlatih yang dikenali sebagai “shadow partners”.
Daripada jumlah itu, empat peserta bertugas di bahagian dapur manakala 10 lagi berperanan sebagai petugas barisan hadapan yang melayan pelanggan.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dengan sokongan dan persekitaran yang sesuai, penghidap demensia masih mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Ubah Persepsi, Bukan Pinggirkan Penghidap
Penaung ADFM, Puan Sri Wendy Ong berkata, idea mewujudkan memory café telah lama menjadi sebahagian daripada visi organisasi itu.
“Sejak dahulu lagi kami mahu mewujudkan konsep seperti ini — sebuah kafe khas untuk individu yang hidup dengan demensia,” katanya.

Beliau menjelaskan, ADFM sentiasa memberi penekanan agar golongan berkenaan kekal aktif dalam masyarakat dan tidak dipinggirkan.
“Di ADFM, kami menjalankan pelbagai aktiviti untuk PWD (persons with dementia) supaya mereka tidak terasing dan terus menjadi sebahagian daripada komuniti,” katanya.
ADFM turut mengendalikan pusat jagaan harian berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang telah beroperasi hampir tiga dekad, menawarkan pelbagai aktiviti seperti lukisan, latihan kemahiran dan aktiviti motor.
Selain itu, pusat komuniti di Megah Rise Mall juga menganjurkan aktiviti berkala termasuk nyanyian, kraftangan, tarian dan yoga bagi memastikan minda peserta kekal aktif.
“Walaupun mereka mungkin kehilangan sebahagian ingatan jangka pendek, itu tidak bermakna mereka perlu dipisahkan sepenuhnya daripada dunia luar,” katanya.
Beliau menambah, Memory Café memberi ruang kepada penghidap demensia untuk berinteraksi dengan lebih yakin.
“Melalui kafe ini, kita dapat lihat bagaimana mereka berhubung dengan orang ramai — ia sangat menggalakkan dan memberi inspirasi,” katanya.
Program ini turut disokong oleh pihak Megah Rise Mall sebagai penyedia lokasi, manakala CARFE Café menaja makanan sepanjang acara berlangsung.
Stigma Masih Cabaran Utama
Sementara itu, ahli farmasi klinikal dan pensyarah Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, pengalaman peribadinya menjaga ahli keluarga yang menghidap demensia menjadi pendorong utama untuk beliau terlibat dalam bidang tersebut.

“Perjalanan menjaga beliau dari peringkat awal hingga akhir memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan sesuatu yang bermakna,” katanya.
Menurut beliau, stigma masyarakat masih menjadi cabaran besar apabila ramai keluarga cenderung mengasingkan penghidap kerana rasa malu atau bimbang terhadap tanggapan umum.
“Kita sering tidak membawa mereka keluar dan menyerahkan sepenuhnya kepada penjaga. Sudah tiba masanya kita libatkan mereka dalam kehidupan harian,” katanya.
Walaupun tiada penawar untuk demensia atau Alzheimer’s disease ketika ini, beliau menegaskan bahawa penglibatan sosial dan aktiviti rangsangan minda mampu memperlahankan perkembangan penyakit.
Memory Café menyediakan ruang selamat untuk interaksi sosial, malah dikendalikan sendiri oleh penghidap demensia — sekali gus mengembalikan keyakinan dan rasa tujuan hidup.
“Apabila mereka dihargai oleh pelanggan, ia memberi motivasi dan membuatkan mereka sedar bahawa kehidupan mereka masih bermakna,” katanya.
Selain penglibatan komuniti, Dinesh turut aktif dalam penyelidikan akademik berkaitan penjagaan demensia.
Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Monash University Malaysia, dengan fokus kepada perubatan berasaskan bukti serta pengurusan ubat, selain menyelia projek penyelidikan pelbagai disiplin.
Beliau juga merupakan penerima Merdeka Award Grant yang membolehkannya menjalani penempatan penyelidikan di University of Sheffield bagi memperkasa lagi strategi penjagaan demensia di Malaysia.

Ke hadapan, beliau berharap konsep Memory Café ini dapat diperluaskan ke negeri lain termasuk Johor, Pulau Pinang dan Perak, serta Sabah dan Sarawak.
Namun, beliau menegaskan usaha menangani demensia memerlukan kerjasama lebih kukuh antara institusi kesihatan, universiti, organisasi komuniti dan pusat jagaan.
“Kita tidak boleh terus melihat demensia sebagai stigma. Kita perlu berbincang secara terbuka dan menyokong mereka yang mengalaminya,” katanya.
“Yang penting, kita perlu melihat manusia itu sendiri, bukan penyakitnya.” - DagangNews.com








