KUALA LUMPUR 14 Mac — Kawasan Forest City bersedia menjadi pemain utama dalam penyediaan hab pengangkutan darat untuk Zon Kewangan Khas (SFZ) dan sebahagian daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Timbalan Presiden Country Garden Pacificview Sdn Bhd, Syarul Izam Sarifudin berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan rangkaian rel sebagai antara persediaan menjadi sebagai hab pengangkutan selatan tanah air.
"Kami berhasrat menaik taraf rangkaian pengangkutan jalan selain merancang jaringan kereta api serta pembinaan Aliran Transit Automasi (ART) atau Transit Aliran Ringan (LRT)," katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan, Forest City bersedia mengambil bahagian jika kerajaan merancang menghidupkan semula projek mega tren berkelajuan tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Sejak 2023 katanya, Forest City dan syarikat Causeway Link bekerjasama mewujudkan laluan bas menghubungkan kawasan itu dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Laluan ini memudahkan akses penduduk kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura untuk berulang alik menerusi lebuh raya jambatan Laluan Kedua (Linkedua) tanpa perlu melalui kesesakan di Tambak Johor.
"Kami juga akan terus berkolaborasi meningkatkan perkhidmatan bas awam bagi memastikan kelancaran pergerakan di kawasan berkenaan termasuk mengoptimumkan laluan sedia ada antara Forest City," katanya.
Operasi bas yang dinaik taraf di sekitar Forest City katanya, akan lebih terintegrasi dengan sistem perkhidmatan bas awam di Johor Bahru sekali gus meningkatkan lagi pergerakan pelbagai pihak dengan kawasan luar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri komited menambah baik perhubungan di Forest City.
Ini termasuk meningkatkan kualiti jalan raya serta pengangkutan awam yang menghubungkan SFZ di Forest City serta JS-SEZ bagi merancakkan lagi proses pembangunan di kedua-dua inisiatif zon berkenaan.

"Ini berdasarkan jumlah pengembara yang merentas sempadan antarabangsa Malaysia dan Singapura di Tambak Johor serta Second Link merekodkan masing-masing 300,000 hingga 400,000 orang sehari," katanya.
Malah sistem pemeriksaan tunggal menggunakan teknologi pengecaman wajah selain Kod QR dan pasport yang dilaksanakan di kedua-dua CIQ iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan KSAB sudah pun memulakan operasi.
Mohamad Fazli memberitahu bahawa kerajaan negeri juga mempunyai perancangan membangunkan rangkaian pengangkutan awam yang dapat menghubungkan SFZ Forest City dan juga kawasan JS-SEZ menerusi sambungan Rapid Transit System (RTS Link).
Bagi menyokong perkhidmatan itu, kerajaan Johor mahu membangunkan sistem ART bertingkat melibatkan Laluan Iskandar Puteri yang bakal menghubungkan SFZ Forest City dan kawasan JS-SEZ serta Laluan Skudai dan Laluan Tebrau.
"Sistem pengangkutan ini diyakini dapat meningkatkan keupayaan Forest City sebagai sebuah hab pengangkutan sekali gus berupaya menarik lebih banyak pelaburan domestik dan juga antarabangsa," kata beliau.
Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan sistem pengangkutan yang dirancang atau sudah dilaksanakan akan dapat membantu Johor mencapai status negeri maju menjelang 2030. - DagangNews.com








