Foodpanda Malaysia lantik Kenneth Soh sebagai Pengarah Urusan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Foodpanda Malaysia lantik Kenneth Soh sebagai Pengarah Urusan baharu

Kenneth Soh
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Foodpanda Malaysia mengumumkan pelantikan Kenneth Soh sebagai Pengarah Urusan baharu syarikat itu untuk mengetuai strategi perniagaan dan operasi di seluruh negara.

 

Pelantikan itu juga bertujuan memperkukuhkan lagi pertumbuhan platform serta menjadikannya sebagai pilihan utama rakyat Malaysia untuk makanan dan keperluan harian.

 

Soh membawa pengalaman luas dalam ekonomi digital di Asia Tenggara. Sebelum ini, beliau pernah menjadi Pengurus Negara untuk Malaysia di PropertyGuru Group, memimpin perkembangan platform PropertyGuru dan iProperty.

 

Beliau juga mempunyai pengalaman di Shopee Malaysia, di mana beliau menguruskan pertumbuhan platform, pemasaran, pembangunan komersial, serta komunikasi luaran.

 

Foodpanda dalam satu kenyataan memaklumkan latar belakang ini dijangka membantu syarikat meningkatkan operasi dan kepuasan pelanggan.

 

“Pelantikan Soh dibuat ketika syarikat memfokuskan perhatian kepada pembangunan platform makanan dan barangan runcit. Syarikat ingin memastikan rakyat Malaysia boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan dan keperluan harian dengan lebih mudah dan pantas.

 

“Misi Foodpanda, “Make Life Delicious” akan diteruskan dengan menekankan penghantaran yang boleh dipercayai, rangkaian peniaga yang kukuh, dan tawaran penjimatan harian bagi pengguna,” menurut kenyataan itu.

 

Sementara itu, Soh berkata foodpanda menghubungkan makanan, barangan runcit, dan keperluan harian dalam satu ekosistem yang bakal menjadi pendamping setia rakyat Malaysia.

 

Di bawah kepimpinannya, foodpanda Malaysia akan terus mengembangkan rangkaian peniaga dan rakan penghantar, sambil meningkatkan pengalaman pelanggan dalam penghantaran makanan dan kerjasama runcit.

 

Kini, Foodpanda menghubungkan jutaan rakyat Malaysia dengan restoran, rakan runcit dan perniagaan tempatan melalui perkhidmatan atas permintaan.

 

Pengguna boleh menikmati pelbagai pilihan makanan dan barangan harian dengan lebih pantas dan mudah.

 

Foodpanda, anak syarikat Delivery Hero, beroperasi di 10 pasaran Asia Pasifik termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, Filipina, Pakistan, Taiwan, Bangladesh, Laos, Kemboja dan Myanmar. Selain penghantaran makanan, platform ini juga memanfaatkan pandamart cloud stores untuk menawarkan lebih banyak pilihan barangan atas permintaan. - DagangNews.com