KUALA LUMPUR 24 April — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bakal memberi tumpuan kepada kecekapan operasi rentas perkhidmatan sebagai usaha transformasi strategik berikutan proses penswastaan, kata Pengerusinya, Dr Nungsari Ahmad Radhi.
Beliau berkata, para pemegang saham baharu juga perlu fokus untuk menambah baik perjalanan penumpang, membaik pulih dan menggiatkan semula infrastruktur setelah MAHB dinyahsenarai secara rasmi daripada Bursa Malaysia pada 26 Februari 2025.
Ahli lembaga baharu katanya, juga sedang serius menjalankan penilaian yang menyeluruh untuk menentukan hala tuju paling berkesan bagi pengendali lapangan terbang berkenaan.
"Kami masih lagi menilai data dan prestasi dari semasa ke semasa untuk mewujudkan hala tuju strategik yang seiring dengan pertumbuhan dan kemampanan jangka panjang," katanya.
Pemegang saham baharu katanya, turut perlu mengambil pandangan secara holistik dalam jangka panjang mengenai keperluan kapasiti dan pelaburan diperlukan untuk memenuhi sasaran.
Pada 12 Februari 2025, Gateway Development Alliance (GDA) memperoleh sebanyak 1.64 bilion saham MAHB atau 98.68 peratus daripada modal terbitan syarikat tersebut.
Konsortium itu terdiri daripada Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP).
MAHB seterusnya pada 13 Februari 2025, mengemukakan permohonan untuk menyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan hari terakhir dagangan awamnya pada 19 Februari 2025.
Urus niaga itu menimbulkan persoalan namun pada 18 Mac 2024, kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan dan MAHB menandatangani Perjanjian Operasi (OA) baharu, berkuat kuasa selama 45 tahun sehingga 11 Februari 2069.
Menyentuh isu kebimbangan itu, Nungsari menekankan bahawa lapangan terbang kekal sebagai aset negara dengan MAHB masih sebagai pengurus dilantik kerajaan di bawah OA sedia ada, satu mekanisme yang mengekalkan pengawasan kerajaan walaupun ada penyertaan asing.
"Tambahan pula, saham khas (golden share) kerajaan kekal dalam MAHB," kata dan menegaskan bahawa OA itu menyediakan rangka kerja berstruktur untuk pelaburan infrastruktur jangka panjanjian selain pada masa sama memastikan kemampanan kewangan.
Di bawah perjanjian itu, MAHB akan terus mengendalikan, mengurus, menyelenggara dan membangunkan sejumlah 39 lapangan terbang serta lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOLports).
Nungsari turut menegaskan bahawa lapangan terbang itu kekal milik kerajaan dan penswastaan tidak menjejaskan kedudukan kerajaan kerana perlindungan undang-undang termaktub dalam OA berkenaan.
Perjanjian itu katanya, membolehkan MAHB meningkatkan pengalaman penumpang, menaik taraf kemudahan dan memenuhi permintaan kapasiti masa hadapan tanpa tekanan kewangan sambil terus berkhidmat untuk kepentingan awam.
"OA ini juga membolehkan MAHB membiayai projek infrastruktur terlebih dahulu dengan mekanisme sedia ada untuk memulihkan kos dari semasa ke semasa melalui caj terkawal walaupun di bawah pemilikan swasta," katanya.
MAHB kekal bertanggungjawab untuk menyelenggara semua 39 lapangan terbang termasuk domestik dan STOLports, yang kebanyakannya tidak berdaya maju secara komersial tetapi memainkan peranan perkhidmatan awam secara kritikal.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan kerajaan, MAHB katanya, perlu menguruskan lapangan terbang tersebut, bukan hanya yang menguntungkan selain memastikan keselamatan dan penyelenggaraan aset kekal menjadi keutamaan.
Ditanya sama ada penswastaan itu diterima baik secara dalaman, Nungsari berkata, para pekerja dan kesatuan sekerja telah terlibat sepanjang proses tersebut.
"Peralihan ini adalah mengenai pertumbuhan dan penambahbaikan operasi bukan pemotongan kos. Pekerja turut memahami bahawa proses yang lebih baik akan memberi manfaat kepada semua orang," katanya.
Mengenai kecekapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Nungsari berkata salah satu cabaran utama ialah menangani jurang perbezaan antara Terminal 1 yang hampir penuh kapasitinya dan Terminal 2 yang kurang digunakan.
Dengan tiga landasan menyediakan kapasiti penerbangan yang mencukupi, beliau berkata keutamaan adalah untuk memperhalusi operasi terminal dan menaik taraf aset yang sudah tua sebelum komited untuk pengembangan selanjutnya. - DagangNews.com








