KUALA LUMPUR 25 Mac - Focus Point Holdings Berhad diunjurkan mampu berkembang kukuh selaras dipacu rancangan pihak pengurusan mahu membuka 10 kedai baharu pada tahun kewangan FY25 di pelbagai lokasi strategik, menurut Mercury Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, pembukaan cawangan tersebut antaranya di IOI Mall Damansara dan Mitsui Sepang, serta Sabah dan Sarawak, diramalkan mampu memperteguhkan lagi pendapatan bagi perniagaan terasnya dalam bidang penjagaan kesihatan mata.
Berdasarkan kedudukan semasa, ia mencatatkan jualan korporat yang lebih kukuh apabila meningkat sebanyak 68 peratus tahun-ke-tahun (YoY), dengan dibantu keberkesanan secara berterusan daripada pelbagai strategi pemasaran dan kempen promosinya selama ini.
"Kami menjangkakan pertumbuhan selanjutnya dalam segmen ini apabila Focus Point mengukuhkan bahagian pasaran dan memanfaatkan permintaan semakin meningkat untuk produk optik didorong oleh populasi rabun yang terus bertambah," katanya dalam satu nota kajiannya.
Pada 17 Mac 2025, syarikat itu mengumumkan tiga cadangan korporat termasuk penerbitan bonus yang keempat sejak 2019 sebagai ganjaran kepada para pemegang saham dan membenarkan mereka melaburkan semula dividen tunai dengan potongan sehingga 10 peratus.
Focus Point ditubuhkan pada 1993 setelah berjaya membuka kedai jualan cermin mata yang pertama di SS2, Petaling Jaya, Selangor pada 1990 sebelum kemudian berkembang pesat dengan mempunyai hampir 200 premisnya ketika ini di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Mengulas lanjut, Mercury berkata, pada FY24, kempen '360 Advanced Primary Eye Care' telah berjaya menyediakan pemeriksaan mata percuma kepada lebih 15,000 individu melalui lapan jerayawara, dan akan diteruskan pada FY25 dengan sasaran 10 siri jelajah.
"Selain itu, Focus Point telah membezakan dirinya daripada pesaing dengan sudah menggunakan teknologi janaan kecerdasan buatan (AI) Airdoc melibatkan 100 cawangan, meningkatkan lagi kelebihan daya saing dalam penyelesaian penjagaan mata," kata firma tersebut.
Bahagian optik jelasnya, kekal menjadi pemacu utama, dengan disokong oleh rangkaian 196 kedai yang luas dan rancangan pengembangan berterusan sejak muncul sebagai jaringan optometris pertama disenaraikan dalam Papan ACE Bursa Malaysia pada 2007.
Firma itu menerusi tinjauan dengan pihak pengurusan Focus Point mendapati premis syarikat berkenaan terletak strategik di kawasan tumpuan ramai serta direka berkeluasan hamper 1,000 kaki persegi untuk memberikan pelanggan merasai kepelbagaian produk dijual.
Setiap kedai pula katanya, dijenamakan mengikut segmen pasaran yang disasarkan seperti iFocus, Whoosh, Excelview, Focus Point, Focus Point Signature, Optometris Anggun, Hap&Pi dan Komugi dengan harga serta fesyen cermin mata jelas bersesuaian.
Mercury menyifatkan asas syarikat berkenaan sebagai tidak berubah dan mengulangi saranan "Beli" dengan harga sasaran (TP) diunjurkan kepada RM1.18 sesaham berdasarkan kiraan 13 kali ganda perolehan setiap saham (EPS) pada tahun FY25. - DagangNews.com








