KUALA LUMPUR 3 April - Focus Point Holdings Berhad dijangka meraih manfaat besar berikutan langkah kerajaan mengharamkan penjualan peranti optik dan kanta sentuh secara dalam talian, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, tindakan tegas itu menyebabkan produk berkenaan kini diklasifikasikan sebagai peranti perubatan yang memerlukan preskripsi dan perlu disediakan hanya oleh pakar optik berdaftar.
Susulan itu katanya, individu yang didapati menjual barangan tersebut secara haram boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM200,000, penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali sekiranya disabitkan kesalahan.
"Kami percaya, larangan itu sebenarnya menyasarkan optometris tidak berlesen dan penjual beroperasi melalui platform media sosial namun sedikit sebanyak memberi manfaat kepada Focus Point," katanya dalam satu nota kajian.
Minggu lalu, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) mengeluarkan kenyataan rasmi yang mengharamkan segala penjualan peranti optik dan kanta sentuh menerusi sebarang platform e-dagang mengikut Akta Peranti Perubatan 2012.
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, pihaknya memang memahami bahawa aktiviti perniagaan dalam talian bukan isu baharu kerana tindakan keras sebelum ini pada 2021 menyaksikan penjualan kanta sentuh diharamkan melalui laman web.
Secara keseluruhannya, dengan penguatkuasaan terkini garis panduan sedia ada, firma penyelidikan itu percaya ia memberi kesan positif kepada Focus Points yang menguasai pasaran utama dalam segmen optik dengan 196 kedai pada FY24.
"Selain itu, jualan kanta sentuh, yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada hasil optik Focus Point, mungkin meningkat baik kerana produk tersebut tidak lagi dijual melalui media sosial atau laman web mana-mana e-dagang," katanya.
Jualan optik syarikat itu pada FY24 meningkat 13.8 peratus tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM240.8 juta, dipacu oleh jualan kedai runcit dan korporat, yang naik 11.9 peratus dan 67.6 peratus, masing-masing mencecah RM212.7 juta dan RM17.9 juta.
Pengurusan Focus Points memaklumkan TA Securities bahawa bilangan pelanggan korporat optik berjumlah 731 dan mereka akan terus merekrut lebih ramai pelanggan korporat untuk meningkatkan lagi transaksi jualan secara berulang.
Menjelang FY25, pihak pengurusan syarikat itu kata firma tersebut, kekal optimistik mengenai prospek persekitaran perniagaan, disokong oleh kelaziman masalah rabun dalam kalangan rakyat Malaysia dan penduduk yang semakin tua.
"Kami mendapati bahawa pada tempoh 4Q24, jualan korporat suku tahunan Focus Point telah berjaya menyumbang sekitar RM8 juta, untuk ditutup kepada RM10.7 juta yang dicapai dalam keseluruhan FY23," kata nota kajian firma tersebut.
Kumpulan itu turut menyasarkan membuka 10 cawangan milik penuh pada 2025 berbanding empat pada 2024 dan lebih penting, margin untung kasar dijangka kekal berdaya tahan kerana ia akan dapat memperoleh rebat yang lebih tinggi.
TA Securities masih mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM1.07 sesaham. - DagangNews.com








