KUALA LUMPUR 21 Nov – RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Focus Point Holdings Berhad dan harga sasaran 74 sen, didorong keyakinan pemulihan lebih mantap pada suku keempat tahun ini.
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif itu berikutan trend lonjakan permintaan optikal secara bermusim dan peningkatan tuntutan faedah pekerja ke atas keperluan cermin mata.
Selain itu, perbelanjaan perayaan tradisinya menjadikan situasi suku keempat tempoh paling kuat bagi syarikat tersebut, dan ia menjangkakan prestasi yang lebih kukuh berbanding suku sebelumnya.
"Bagi 9M25, keuntungan teras sebanyak RM23 juta, susut 4.4% tahun ke tahun (YoY) menepati unjuran masing-masing 64% dan 63% daripada ramalan kami dan konsensus," kata RHB Research dalam notanya.
Pendapatan pula meningkat 5.3% YoY kepada RM220.2 juta, didorong oleh pertumbuhan stabil segmen optikal bertambah kira-kira 6.0%, serta peningkatan sederhana segmen makanan dan minuman (F&B).
Katanya, walaupun segmen F&B kekal mencatat kerugian berbanding keuntungan pada tahun sebelumnya, segmen optikal mencatat lonjakan keuntungan 9.9% YoY, menjadi penyokong utama prestasi syarikat.
RHB Research menambah bahawa Focus Point kekal agresif dalam strategi pengembangannya, termasuk rancangan membuka sebanyak empat lagi outlet baharu di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.
"Sementara segmen F&B juga menunjukkan arah pemulihan apabila syarikat memperoleh tiga pelanggan perniagaan (B2B) baharu, dengan tempahan kecil bermula 4Q25," jelas firma penyelidikan berkenaan.
Di samping itu, satu lagi pelanggan rangkaian makanan segera dijangka menyumbang kepada prestasi kumpulan tersebut seawal tahun depan sekiranya proses kelayakan dapat berjalan dengan lancar.
Kata RHB Research, pesanan yang disifatkan sebagai besar itu berpotensi bernilai sekitar RM5 juta, sekali gus mampu memberikan lonjakan antara 5% hingga 6% kepada keuntungan syarikat pada FY26.
RHB mengekalkan unjuran namun memberi amaran risiko yang dikenal pasti termasuk kelewatan pembukaan kedai baharu serta kehilangan pelanggan korporat utama. - DagangNews.com








